Halaman

Jumaat, 27 Mei 2011

Pengalaman 26.05.2011

Hari ini semasa saya sedang menanti kes saya dipanggil untuk disebut, saya sempat melihat dan mendengar satu keputusan kes jenayah syariah dibacakan oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Rendah Syariah.

Keputusan kes ini ialah berkaitan dengan dakwaan "mengajar agama tanpa tauliah" dimana ianya adalah merupakan satu kesalahan di bawah Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah negeri:-

Seksyen 11. Mengajar agama tanpa tauliah.

(1) Mana-mana orang yang mengajar atau mengaku mengajar apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah seksyen 96 Akta Pentadbiran adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
(2) Subseksyen (1) tidaklah terpakai bagi-

(a) mana-mana orang atau golongan orang yang dikecualikan oleh Majlis di bawah seksyen 98 Akta Pentadbiran; atau

(b) mana-mana orang yang mengajar atau mengaku mengajar apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam di dalam kediamannya sendiri kepada anggota keluarganya sahaja.

Apa yang menarik ingin saya kongsikan di sini ialah semasa saya mendengar penghakiman dibacakan, hati saya merasa "kasihan" melihat kepada Tertuduh yang didakwa melakukan kesalahan sedangkan beliau mengajar agama. Mengajar itu baik tetapi disebabkan dia tidak mempunyai tauliah mengajar, maka dia didakwa oleh pihak berkuasa.

Walaubagaimanapun, Tertuduh pada hari ini mampu menarik lafaz lega kerana Mahkamah telah melepaskan dan membebaskan Tertuduh daripada tuduhan tersebut. Dalam penghakiman, Mahkamah menyatakan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan Tertuduh mengajar agama iaitu mengajar tafsir ayat 14 hingga 20 Surah al-baqarah. Saksi-saksi pendakwaan hanya mengetahui Tertuduh mengajar tetapi tidak pasti samada Tertuduh mengajar tafsir ayat 14 hingga 20 Surah al-baqarah. Selain itu, lokasi kejadian kesalahan didakwa dilakukan juga adalah terlalu umum.

Jadi, pada kawan-kawan semua terutama ustaz dan ustazah, saya nak ingatkan kalau nak mengajar orang ramai tue kena dapat tauliah dulu yer.. kalau tidak, bersiap sedialah kawan-kawan ku semua...

Rabu, 25 Mei 2011

BILA WALI HAKIM DIGUNAKAN DALAM PERNIKAHAN?

Wali hakim dalam pernikahan seorang perempuan boleh digunakan dalam keadaan-keadaan seperti berikut:-

i) Pengantin perempuan tidak mempunyai wali nasab
ii) Pengantin perempuan mempunyai ramai wali nasab tetapi wali nasab yang hampir berada di tempat yang jaraknya dua ((2) marhalah atau lebih dari pengantin perempuan. Dalam keadaan ini hak menjadi wali tidak berpindah kepada wali yang lebih jauh tetapi hendaklah dikahwinkan menggunakan wali hakim.
iii) Wali enggan menikahkan pengantin perempuan dengan lelaki yang sekufu (setaraf) dengan perempuan tersebut.

SUSUNAN WALI NASAB DALAM PERNIKAHAN

Kewujudan wali dalam pernikahan seorang perempuan adalah wajib. Sabda Nabi s.a.w:-

"Tidak ada nikah tanpa wali"

Susunan wali-wali dalam pernikahan adalah seperti berikut:-

a) Bapa
b) Ayah kepada bapa (Datuk)
c) Adik beradik lelaki seibu sebapa
d) Adik beradik lelaki sebapa
e) Anak saudara (anak kepada adik lelaki seiibu dan sebapa)
f) Anak saudara (anak kepada adik lelaki sebapa)
g) Bapa saudara seibu sebapa ( adik beradik lelaki kepada bapa yang seibu dan sebapa)
h) Bapa saudara sebapa ( adik beradik lelaki kepada bapa yang sebapa)
i) Sepupu ( anak lelaki kepada bapa saudara yang seibu dan sebapa)
j) Sepupu ( anak lelaki kepada bapa saudara yang sebapa)

Jika kesemua wali-wali nasab di atas tidak ada, maka wali yang digunakan ialah wali hakim/sultan.

Jika bapa seseorang perempuan telah meninggal dunia, maka kuasa wali akan berpindah kepada wali selepasnya iaitu datuk dan begitulah seterusnya mengikut susunan wali.

Selasa, 24 Mei 2011

SIAPAKAH YANG BOLEH MENJADI JURUNIKAH

Orang-orang yang diiktiraf untuk menjadi jurunikah sesuatu perkahwinan ialah:-

Jika pengantin perempuan mempunyai wali nasab:-

i) Wali di hadapan Pendaftar;
ii) Wakil wali di hadapan dan dengan kebenaran Pendaftar; atau
iii) Pendaftar sebagai wakil wali.

Jika pengantin perempuan tidak mempunyai wali nasab, pernikahan tersebut hanyalah boleh diakadnikahkan oleh wali hakim.

* Pendaftar ialah Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk termasuklah Penolong Pendaftar
* Wali Hakim ialah wali yang ditauliahkan oleh Sultan dimana pengantin perempuan tinggal/bermastautin

UMUR MINIMUM BERKAHWIN

Umur minimum untuk berkahwin sebagaimana yang ditetapkan oleh Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 ialah sebagaimana berikut:-

i) Lapan belas (18) tahun ke atas bagi pengantin lelaki; dan
ii) Enam belas (16) tahun ke atas bagi pengantin perempuan.

Jika pengantin lelaki berumur kurang  daripada 18 tahun atau pengantin perempuan berumur kurang dari 16 tahun, maka perkahwinan tersebut tidak boleh dilangsungkan sehinggalah mendapat kebenaran secara bertulis dari Hakim Mahkamah Rendah Syariah. Untuk mendapat kebenaran bertulis tersebut, satu Permohonan Untuk mendapatkan kebenaran berkahwin perlulah di failkan di Mahkamah Rendah Syariah dimana pemohon tinggal atau bermastautin.