Selasa, 5 Julai 2011

Pengalaman 01.07.2011

01hb Julai 2011 merupakan satu tarikh yang amat bermakna untuk saya dan rakan-rakan seperjuangan saya yang lain. Pada tarikh tersebut, satu Konvensyen Peguam Syarie Seluruh Malaysia Kali Ke-2 telah diadakan di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur dimana konvensyen tersebut telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia iaitu YAB Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak. Inilah kali pertama saya dapat bersua muka bukan sahaja dengan Perdana Menteri tetapi juga dengan YAB Senator Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil bin Hj. Baharom (B) dan Datuk Dr. Mashitah Ibrahim. Inilah juga kali pertama saya menyanyikan lagu 1Malaysia dengan penuh penghayatan.

Alhamdulillah, dengan adanya Konvensyen ini telah memberikan saya peluang untuk berjumpa kenalan-kenalan lama saya untuk sama-sama berkongsi pengalaman dan idea sepanjang menceburi bidang kepeguaman syarie ini.
Terdapat tiga (3) kertas kerja yang dibentangkan dalam konvensyen kali ini iaitu:-

i) Kepeguaman Syarie di Malaysia yang dibentangkan oleh Y.Bhg Tuan Mohamad Isa bin Abd Ralip, Presiden, Persatuan  Peguam Syarie Malaysia;

ii) Kepeguaman Syarie di Negara Brunei Darussalam yang dibentangkan oleh Y.Bhg Tuan Mohd Yusof bin Halim, Peguam Kanan Tetuan Sankaran Halim; dan

iii) Kepeguaman Syarie di Republik Singapura yang dibentangkan oleh YA Puan Faridah Eryani binti Pairin, Ahli Lembaga Rayuan, Mahkamah Rayuan Syariah Republik Singapura.

Walaupun Y. Bhg Tuan Mohamad Isa banyak membincangkan kelemahan dan kekurangan kepeguaman syarie di Malaysia, tetapi menurut pandangan peribadi saya hasil daripada pembentangan ketiga-tiga kertas kerja tersebut, saya percaya bahawa kepeguaman syarie di Malaysia adalah lebih bagus dan semakin berkembang dengan jayanya. Kewujudan Konvensyen ini juga sudah menunjukkan adanya perkembangan kepeguaman syarie yang baik di Malaysia.

Di akhir konvensyen ini, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia telah membentangkan Resolusi Konvensyen untuk dipertimbangkan oleh Perdana Menteri iaitu:-
i) Menggesa Jabatan Peguam Negara untuk menyegerakan kewujudan Akta Guaman Syarie;
ii) Menubuhkan Majlis Peguam Syarie selaras dengan penubuhan Akta Guaman Syarie;
iii) Menyeragamkan Sijil Pentauliahan Peguam Syarie dan mewujudkan hanya satu Sijil Amalan Peguam Syarie sahaja yang boleh digunakan untuk semua Mahkamah Syariah seluruh Malaysia;
iv) Memperkasakan dan mengukuhkan Mahkamah Syariah serta Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dengan menaiktaraf pejawatan skim pegawai syariah ke satu skim yang berbeza dengan skim perkhidmatan yang lain; dan
v) Memperluaskan bidangkuasa Mahkamah Syariah khususnya dalam bidang jenayah dan muamalat.

Walaupun pengendalian majlis ini oleh pihak penganjur terutamanya dari segi masa  agak kurang memuaskan, namun kewujudan konvensyen ini adalah satu usaha yang murni yang dilakukan oleh pihak penganjur dalam memastikan kehakiman syariah di negara ini berada ditahap yang memuaskan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan