Halaman

Khamis, 14 Jun 2012

Kepentingan Wasiat


Perancangan Pewarisan Harta Islam adalah perlu dilakukan oleh setiap muslim yang ingin memastikan orang yang mereka sayangi terutamanya mereka yang tidak tergolong dalam senarai ahli waris melalui hukum faraid mendapat harta sepertimana yang diingini.

Sekiranya perancangan mengenai pewarisan harta tidak dilakukan, pembahagian harta pusaka adalah ditetapkan oleh hukum faraid di mana hanya ahli waris yang layak sahaja akan menerima pembahagian harta pusaka tersebut.

Bagi mereka yang tidak disenaraikan sebagai ahli waris, tidak berhak untuk menerima harta pusaka Si Mati.

Adalah perlu bagi individu muslim mengetahui siapakah ahli-ahli waris yang berhak mewarisi harta peninggalan mereka dan bahagian masing-masing selepas kematian.

Dalam sistem faraid, ahli waris ditentukan melalui dua cara iaitu perkahwinan dan keturunan. Walaubagaimanapun, pertalian yang hampir dan/atau kuat akan menghalang pertalian yang jauh dari menerima harta pusaka. Contohnya, anak lelaki  Si Mati akan menghalang cucu lelaki Si Mati. Begitu juga Saudara Lelaki Seibu Sebapa akan menghalang Saudara Sebapa dari menerima harta pusaka.

Memandangkan sistem faraid hanya diberi kepada ahli waris yang ditentukan sahaja, wasiat adalah salah satu alternatif lain yang dapat memastikan bahawa mereka yang tidak disenaraikan sebagai ahli waris menerima harta pusaka. Antara golongan tersebut ialah anak angkat, ibu angkat, ayah angkat, adik angkat, kakak angkat, abang angkat, cucu yang dihalang oleh anak, anak yang tidah sah taraf, ibu bapa bukan Islam, ahli keluarga bukan Islam, sahabat karib dan lain-lain yang tidak akan menjadi ahli waris di bawah faraid.

Selain memastikan mereka yang tidak disenaraikan sebagai ahli waris mendapat manfaat harta melalui wasiat selepas kematian Pewasiat, wasiat juga boleh mencairkan harta Si Mati dalam tempoh yang singkat berbanding harta yang ditinggalkan tanpa wasiat.

Melalui amalan di Malaysia, apabila seseorang itu meninggal dunia, semua asetnya akan dibekukan dari sebarang transaksi. Contohnya, wang simpanan Si Mati di Bank dan  pemilikan tanah atas nama Si Mati akan dibekukan sementara pentadbir harta Si Mati mendapatkan probet atau Surat Kuasa Mentadbir di Mahkamah.

Sekiranya seseorang itu meninggal dunia tanpa meninggalkan wasiat, semua ahli waris hendaklah bersetuju untuk melantik seorang pentadbir untuk mentadbir harta Si Mati. Dalam hal ini, sekiranya waris bertelagah dan tidak bersetuju atau ahli waris tidak mengendahkan dalam menentukan siapa pentadbir harta Si Mati, pembahagian Harta Pusaka menjadi sukar untuk diselesaikan dan memakan masa yang lama untuk diselesaikan. Ini berlainan sekiranya wasiat di lakukan. Masalah mengenai persetujuan dikalangan ahli waris untuk melantik pentadbir harta Si Mati tidak berlaku kerana pewasiat sendiri telah melantik pentadbir hartanya di dalam wasiat.

Selain itu, bagi mereka yang mempunyai bebanan hutang yang banyak, wasiat juga boleh menjadi satu pemberitahuan kepada ahli waris supaya membayar terlebih dahulu hutang Si Mati dengan menolak harta pusaka Si Mati sebelum dibahagikan menurut Faraid.

Ahad, 3 Jun 2012

Izin isteri bukan tiket berpoligami

Umum mengetahui bahawa poligami adalah perkara yang dibenarkan dalam agama Islam. Hal ini adalah selaras dengan Surah An-Nisa ayat-3  yang bermaksud: “… kahwinlah kamu dengan perempuan-perempuan yang baik dikalangan kamu dua, tiga dan empat. Jika kamu takut tidak dapat berlaku adil, maka cukuplah satu.”

Rasulullah s.a.w telah memberi amaran bagi mereka yang berpoligami tentang akibat ke atas suami yang tidak melakukan keadilan diantara isteri-isterinya. Sabda Nabi s.a.w:  “Barangsiapa yang beristeri dua sedangkan dia lebih mementingkan (cenderung kepada) salah seorang daripada kedua isterinya, nescaya dia akan datang pada hari kiamat kelak dalam keadaan  rusuknya cenderung (bengkok).”

Melalui dalil-dalil di atas, dapat dilihat bahawa hukum dibolehkan poligami adalah dengan syarat wujudnya keadilan oleh suami terhadap isteri-isteri yang dinikahinya.

Selaras dengan kehendak Hukum Syarak ini, maka undang-undang keluarga Islam khususnya peruntukan berkenaan poligami dibentuk bagi memastikan keadilan kepada isteri-isteri sentiasa terpelihara sebelum suami berpoligami. Peruntukan khusus mengenai poligami telah diperuntukan di bawah Seksyen 23 Akta Undang-undang keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.

Walaupun Seksyen 23(3) Akta Undang-Undang keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 menghendaki suami yang ingin memohon poligami menyatakan dalam Surat Akuan samada keizinan atau pandangan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap perkahwinan yang dicadangkan itu, tetapi harus diberi perhatian bahawa keizinan isteri bukanlah syarat untuk Mahkamah membenarkan poligami yang di pohon oleh suami. Begitu juga sebaliknya, bantahan isteri bukan syarat untuk Mahkamah menolak permohonan poligami suami.

Seksyen 23(4) Akta Undang-Undang keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 telah menggariskan bahawa dalam permohonan kebenaran poligami, Pemohon (suami) dan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada hendaklah hadir ke Mahkamah untuk memberikan keterangan bagi Mahkamah mengenalpasti samada syarat-syarat kebenaran poligami menurut Hukum Syarak dan Undang-undang telah dipatuhi atau sebaliknya.

Kebenaran berpoligami hanya diberikan oleh Mahkamah setelah Mahkamah berpuashati terhadap perkara-perkara berikut:-
    (a) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu, memandang kepada, antara lain, hal keadaan yang berikut, iaitu, kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak persetubuhan, atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;
    (b) bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syarak, semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu;
    (c) bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syarak; dan 

    (d) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syarie kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;
Sekiranya Mahkamah berpuashati bahawa kesemua syarat-syarat (a), (b), (c) dan (d) di atas telah dipenuhi, maka Mahkamah boleh membenarkan suami berpoligami walaupun ditentang oleh isteri sedia ada. Tetapi sebaliknya, jika syarat-syarat tersebut di atas tidak dipenuhi, Mahkamah boleh menolak permohonan poligami suami walaupun isteri memberi keizinan suami berpoligami.

Oleh yang demikian, keizinan isteri bukanlah syarat untuk membenarkan suami berpoligami tetapi ialah keadilan kepada isteri-isteri yang perlu dititikberatkan bagi suami yang berhasrat untuk berpoligami.