Isnin, 5 November 2012

Jenis Lafaz Cerai

Lafaz cerai terbahagi kepada dua (2) bahagian iaitu:-

(i) Lafaz Soreh; dan
(ii) Lafaz Kinayah

Lafaz soreh ialah lafaz yang digunakan jelas menunjukkan kepada makna talak/cerai dan tidak boleh ditafsirkan kepada makna lain selain talak/cerai. Lafaz soreh ada tiga (3) iaitu talak/cerai, bebas/lepas dan pisah. Contohnya seorang suami berkata kepada isterinya "Aku ceraikan engkau" atau "Aku berpisah dengan engkau".

Hukum lafaz soreh ini ialah jatuh talak sama ada suami berniat menceraikan isteri atau tidak. Ini kerana lafaz soreh tidak perlu kepada niat ketika diucapkan.

Lafaz Kinayah pula ialah lafaz yang boleh ditafsirkan sebagai cerai atau selain cerai. Ada banyak lafaz kinayah diantaranya ialah seorang suami berkata kepada isterinya "Engkau bebas dari aku",  "Engkau terputus hubungan dengan aku", "Kembalilah kepada keluarga engkau", "Jauhkan diri engkau dari aku", "Engkau haram ke atasku" dan lain-lain lagi. Kesemua lafaz ini dianggap kinayah kerana ia boleh ditafsirkan sebagai talak/cerai atau selain talak/cerai.

Hukum lafaz kinayah ialah talak tidak jatuh melainkan suami mempunyai niat menjatuhkan talak kepada isteri.Dengan erti kata lain, Lafaz kinayah memerlukan niat suami untuk menceraikan isteri.

Jika suami ada melafazkan cerai di luar dan tanpa kebenaran mahkamah, maka segeralah bertindak dalam masa tujuh (7) hari untuk melaporkan lafaz cerai di Mahkamah Syariah bagi tujuan pengesahan lafaz cerai.

1 ulasan:

  1. assalamualaikum, saya nak bertanya, sekiranya suami berkata begini, "kalau nak cerai, boleh..nah, ambik la kalau nak"....adakah tertalak si isteri tu? terima kasih..

    BalasPadam