Halaman

Khamis, 30 Mei 2013

Tempoh Iddah

Iddah dari segi syarak ialah tempoh masa tertentu seorang wanita menanti dan tidak berkahwin sebagai tanda pengabdian diri kepada Allah, berkabung dan bersedih kerana berpisah dengan suami atau untuk memastikan wanita tersebut tidak mengandung anak bekas suaminya (menyucikan rahim).

Tempoh iddah adalah berbeza mengikut situasi:-

(a) Bagi isteri yang kematian suami, jika mengandung tempoh iddahnya sehingga melahirkan anak. Jika tidak mengandung, tempoh iddahnya ialah empat (4) bulan sepuluh (10) hari.

(b) Bagi isteri yang diceraikan suami, jika mengandung tempoh iddahnya sehingga melahirkan anak. Jika tidak mengandung dan masih mempunyai haid, tempoh iddahnya ialah tiga (3) kali suci. Jika tiada haid atau sudah putus haid, iddahnya ialah tiga (3) bulan.

Tarikh permulaan iddah dikira dari tarikh berlakunya perceraian/kematian.

Jika seseorang wanita diceraikan/ kematian suami sebelum disetubuhi oleh suaminya, maka wanita tersebut tidak mempunyai iddah.

Ahad, 31 Mac 2013

Perbezaan Talak sunni dengan Talak Bid'i

Talak sunni ialah seorang wanita diceraikan oleh suami dalam keadaan wanita tersebut bersih daripada haid dan nifas, dan tidak disetubuhi oleh suaminya lagi dalam tempoh tersebut. Hukumnya adalah harus dan jatuh talak. Talak jenis ini adalah bertepatan dengan syarak. 

Talak bid'i ialah seorang wanita yang diceraikan oleh suami dalam keadaan wanita tersebut haid atau nifas, ataupun dia dalam keadaan suci tetapi telah disetubuhi oleh suaminya. Hukumnya adalah haram dan berdosa kerana bertentangan dengan bentuk talak yang disyariatkan. Talak tetap jatuh. Walaubagaimanapun suami sunat  ruju' semula isterinya. Sebab pengharaman ialah kerana memudharatkan isteri disebabkan panjangnya tempoh iddah kerana waktu haid tidak termasuk dalam iddah. Haram menceraikan isteri yang disetubuhi ketika sucinya kerana kemungkinan isterinya akan mengandung.


Sabtu, 12 Januari 2013

Prosedur Pendengaran Kes Jenayah Syariah


Jika Saman / Waran tangkap telah sempurna dan Orang Kena Tuduh hadir, perbicaraan dimulakan;

  • Baca pertuduhan kepada Orang Kena Tuduh;
  • Pastikan Orang Kena Tuduh faham dengan tuduhan dikenakan ke atasnya;
  • Jika Orang Kena Tuduh tidak faham dengan pertuduhan, perlu dibacakan sekali lagi sehingga faham;
  • Orang Kena Tuduh diminta pengakuan sama ada mengaku bersalah atau minta dibicarakan;

  • Jika mengaku salah hendaklah secara sukarela dan faham akibat pengakuan salah;
  • Pendakwa Syarie diminta membentangkan fakta kes yang berkaitan;
  • Sekali lagi pengakuan Orang Kena Tuduh terhadap fakta kes yang dibentangkan;
  • Jika bersetuju, Orang Kena Tuduh disabitkan dengan pertuduhan yang dikenakan,
  • Orang Kena Tuduh diberi peluang merayu agar diringankan hukuman yang akan dikenakan,
  • Pendakwa Syarie diberi peluang berhujah balas di atas rayuan Orang kena Tuduh.
  • Hakim jatuhkan hukuman.

  • Jika Orang Kena Tuduh tidak mengaku bersalah, Hakim perintah kes dibicarakan;
  • Dengar pemeriksaan utama Pendakwa Syarie;
  • Dengar pemeriksaan balas saksi-saksi Pendakwa Syarie (jika ada);
  • Dengar pemeriksaan semula saksi-saksi Pendakwa Syarie (jika ada);
  • Hakim perintahkan Orang Kena Tuduh mengemukakan hujah penggulungan dan kemudian diikuti dengan hujah Pendakwa Syarie;
  • Jika kes tidak mencapai ‘prima facie’, Orang Kena Tuduh tidak perlu dipanggil membela diri dan dibebaskan;
  • Jika kes mencapai tahap ‘prima facie’, Orang Kena Tuduh diperintah membela diri dengan tiga (3) cara; iaitu

           (a) Memberi keterangan bersumpah; atau
           (b) Memberi keterangan tidak bersumpah; atau
           (c) Berdiam diri.


  • Sekiranya Orang Kena Tuduh membela diri dengan cara (a), Orang Kena Tuduh boleh disoal balas oleh Pendakwa Syarie (jika ada) dan Orang Kena Tuduh berhak memberi keterangan semula (jika ada);
  • Sekiranya Orang Kena Tuduh memilih (b), tiada proses keterangan soal balas dan soal semula;
  • Sekiranya Orang Kena Tuduh memilih (c), Hakim terus perintah saksi-saksi Orang Kena Tuduh memberi keterangan (jika ada), disoal balas oleh Pendakwa Syarie (jika ada) dan disoal semula oleh Orang Kena Tuduh (jika ada);
  • Setelah selesai sesi Orang Kena Tuduh memberi keterangan, Hakim perintah Pendakwa Syarie mengemukakan hujah terakhir dan diikuti hujah Orang Kena Tuduh;
  • Hakim memberi keputusan sama ada Orang Kena Tuduh bersalah atau tidak;
  • Jika Orang Kena Tuduh tidak bersalah, dilepas dan dibebaskan. Sekiranya Orang Kena Tuduh bersalah, Hakim jatuhkan hukuman;

Mana-mana pihak yang terkilan, boleh mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi/Rayuan Syariah dalam tempoh empat belas (14) hari.

Carta Aliran Kes Mal


Isnin, 7 Januari 2013

Ta'liq

Cerai ta'liq ialah suami mengaitkan talak dengan sesuatu sifat atau syarat. Talak akan jatuh jika syarat atau sifat benar-benar berlaku.

Contohnya suami mengatakan "Aku ceraikan kamu di bulan puasa", "Aku ceraikan kamu kalau kamu keluar bekerja", "Aku ceraikan kamu kalau kamu sentuh telefon aku". 

Talak tidak akan jatuh selagimana perkara yang dikaitkan dengan talak tidak berlaku. 

Suami isteri masih lagi boleh menjalani kehidupan melaksanakan tanggungjawab sebagai suami isteri secara berterusan selagimana ta'liq tidak dilanggar.