Rabu, 26 Februari 2014

Mut'ah

Seksyen 2 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 mentafsirkan mut'ah ertinya bayaran saguhati yang diberi dari segi hukum syarak kepada isteri yang diceraikan.

Seksyen 56 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan:-

"Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mut'ah atau pemberian sagu hati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak."

Sekyen di atas menjelaskan bahawa seseorang isteri yang diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya adalah berhak mendapat mut'ah. 

Dalam menentukan kadar mut'ah, jika kedua-dua suami isteri bersetuju berkenaan kadar mut'ah, mut'ah itu adalah sah berdasarkan kepada apa yang dipersetujui. Tetapi jika berlaku perselisihan dalam penentuan kadar mut'ah, maka Hakim berhak menentukan berdasarkan keadaan mereka melihat kepada kehidupan mereka melalui susah senang/pengorbanan hidup berumahtangga, keturunan isteri dan sifat-sifatnya.

Firman Allah s.w.t:-

"Hendaklah kamu memberikan mut'ah (pemberian saguhati) kepada mereka yang diceraikan iaitu suami yang senang hendaklah memberikan saguhati itu menurut ukuran kemampuannya, dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya." (Al-Baqarah:236)

"Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat mut'ah (pemberian saguhati) dengan cara yang patut." (Al-Baqarah:241)

Hikmah disyariatkan mut'ah ialah untuk mengambil hati isteri yang telah diceraikan untuk menjalani kehidupan selepas bercerai, meringankan bebanan dan kesusahan disebabkan perpisahan dan mengubati perasaan sakit hati dan rasa benci yang memuncak hasil daripada perceraian tersebut. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan