Halaman

Rabu, 22 April 2015

KES SEKSYEN 47 TANPA KEHADIRAN SUAMI

Pada hari ini saya mengendalikan kes perceraian secara persetujuan bersama (Seksyen 47) dimana saya mewakili Plaintif  (isteri).  Walaubagaimanapun, pada hari ini Defendan (suami) tidak hadir ke Mahkamah tanpa sebarang alasan munasabah walaupun Saman dan Surat Akuan telah diserahkan kepada Defendan (suami) 12 hari sebelum kes sebutan pada hari ini.

Plaintif (isteri) ada memaklumkan kepada Mahkamah bahawa Defendan ada memberitahunya yang dia tidak akan hadir ke Mahkamah.

Di atas keengganan Defendan tersebut, saya sebagai Peguam Syarie yang mewakili Plaintif telah memohon kepada Mahkamah agar Mahkamah mengeluarkan waran tangkap untuk menangkap Defendan supaya hadir ke Mahkamah. Mahkamah telah meluluskan permohonan pihak Plaintif.

Suka saya memberitahu bahawa apabila kes difailkan di mahkamah, Defendan hendaklah diserahkan sesalinan saman atau dokumen lain untuk hadir ke Mahkamah pada hari yang ditetapkan oleh Mahkamah. Penyerahan saman atau dokumen hendaklah diserahkan secara kediri Defendan. Defendan sendiri yang menerima dan menandatangai pengakuterimaan penyampaian sebagai bukti penyampaian. Saman atau dokumen tidak boleh diserahkan kepada orang lain selain dari Defendan.

Penyerahan saman atau dokumen lain hendaklah diserahkan tidak kurang tujuh (7) hari genap sebelum hari kehadian yang telah ditetapkan Mahkamah.

Apabila Defendan telah menerima saman atau dokumen lain dan menandatangani akuan penerimaan sebagai bukti penyampaian, Plaintif perlulah memfailkan satu Afidavit Penyampaian di Mahkamah.

Dalam kes yang saya kendalikan ini, Defendan telah menerima Saman dua belas (12) hari sebelum kes sebutan di Mahkamah iaitu melebihi masa yang diperuntukkan undang-undang. Malah, tempoh dua belas (12) hari ini adalah satu masa yang cukup untuk Defendan membuat persediaan bagi menjawab tuntutan Plaintif di Mahkamah.

Seksyen 51 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan:-

“Seksyen 51. Mengeluarkan waran sebagai ganti atau tambahan kepada saman

Mahkamah boleh, dalam mana-mana hal yang Mahkamah berkuasa mengeluarkan saman bagi kehadiran mana-mana orang, setelah merekodkan alasannya, mengeluarkan waran untuk menangkapnya jika—

(a) sama ada sebelum atau selepas saman dikeluarkan tetapi sebelum masa yang ditetapkan bagi kehadirannya, Mahkamah berpendapat ada alasan untuk mempercayai bahawa dia telah melarikan diri atau tidak akan mematuhi saman itu; atau

(b) pada masa itu dia tidak hadir dan saman itu dibuktikan telah disampaikan dengan sempurna dalam masa yang mencukupi bagi memastikan kehadirannya mengikut saman itu dan tiada alasan munasabah diberikan bagi ketakhadiran itu.”

Berdasarkan Seksyen 51 (b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap sebagai ganti kepada saman jika pada masa hari sebutan kes Defendan tidak hadir, saman diserahkan pada masa yang mencukupi dan tidak ada alasan yang munasabah diberikan bagi ketidakhadirannya.

PERCERAIAN SECARA PERSETUJUAN BERSAMA (SEKSYEN 47)

Semasa menanti kes sebutan di panggil Mahkamah Rendah Syariah Ampang, Selangor, saya sempat mendengar sebutan kes yang disebut lebih awal dari kes yang saya kendalikan.

Apa yang menarik perhatian saya ialah satu kes perceraian secara persetujuan bersama di bawah peruntukan Seksyen 47 Enakman Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.

Kes ini telah difailkan oleh suami. Maksudnya ialah suami yang memohon perceraian di Mahkamah.

Semasa kes disebut, hakim ada bertanya kepada pihak-pihak mengapa hendak bercerai sedangkan usia perkahwinan mereka tidak sampai 1 tahun. Bulan madu pun belum sempat pergi lagi.

Jawapan mereka ialah tiada persefahaman dan sudah tinggal berasingan lebih dari dua (2) bulan.

Apabila hakim bertanya umur isteri, si isteri menjawab beliau berumur 18 tahun. Si Suami berumur 27 tahun. Si isteri setuju untuk bercerai.

Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah Mahkamah tidak melihat kepada berapa lama usia perkahwinan anda. Mahkamah juga tidak melihat kepada berapa usia anda. Tetapi Mahkamah melihat:

(1) Samada pihak yang satu lagi ( suami atau isteri) setuju atau tidak dengan tuntutan perceraian yang difailkan oleh suami/isteri di Mahkamah; dan

(2) Samada telah wujud pecah belah dalam rumahtangga yang tidak dapat dipulihkan

Jika Mahkamah mendapati selepas siasatan dilakukan bahawa kedua-dua pihak bersetuju bercerai dan berpuashati wujudnya pecah belah dalam rumahtangga yang tidak dapat dipulihkan, maka Mahkamah akan menasihati si suami untuk melafazkan cerai terhadap isteri dengan talak satu dihadapan Mahkamah.

Walaupun perkahwinan itu berusia satu hari, Mahkamah boleh menasihati suami menceraikan isteri jika wujudnya elemen-elemen yang dinyatakan di atas.