Sabtu, 29 Januari 2011

MAKSUD "SEKUFU"

Sekufu ialah persamaan (setaraf) diantara calon suami dan calon isteri. Persamaan ini boleh dilihat dari beberapa sudut iaitu:-
  1. Beragama dan baik. Maksudnya lelaki yang fasik tidak sekufu dengan perempuan yang solehah.
  2. Pekerjaan. Contohnya lelaki yang bekerja sebagai tukang sapu tidak setaraf dengan anak perempuan tokoh korporat.
  3. Tidak mempunyai kecacatan yang boleh menyebabkan berlakunya fasakh dalam perkahwinan.
Sekufu adalah hak calon isteri dan walinya. Walaupun sekufu bukan syarat sah perkahwinan, ia adalah perlu kerana persamaan ini tidak memerlukan pasangan suami isteri mengubah kebiasaan hidup mereka memandangkan kebiasaan hidup mereka adalah hampir sama. Selain itu, ia dapat mengelak calon isteri dan wali menjadi malu.

Namun calon isteri dan walinya boleh meninggalkan syarat ini. Tidak ada siapa yang boleh menghalang mereka jika kedua-duanya redha atau setuju meninggalkan syarat ini.

Tetapi jika hanya seorang sahaja (calon isteri atau wali) yang setuju, pihak yang tidak setuju (calon isteri atau wali) boleh mempertikaikannya di Mahkamah dan memohon untuk memfasakhkan pernikahan.

Khamis, 27 Januari 2011

WANITA YANG HARAM DINIKAHI

1. Haram selama-lamanya disebabkan:-

Hubungan keturunan (nasab):
  • Ibu, nenek sebelah ibu, nenek sebelah bapa;
  • Anak perempuan, cucu perempuan dari anak lelaki, cucu perempuan dari anak perempuan. 
  • Adik beradik perempuan seibu sebapa atau sebapa atau seibu.
  • Anak perempuan kepada adik beradik lelaki yang seibu sebapa atau sebapa atau seibu (Anak saudara).
  • Anak perempuan kepada adik beradik perempuan yang seibu sebapa atau sebapa atau seibu (Anak saudara).
  • Adik beradik perempuan bapa ( Ibu saudara sebelah ayah).
  • Adik beradik perempuan ibu (Ibu saudara sebelah ibu).
Hubungan perkahwinan:
  • Isteri bapa (ibu tiri) Isteri datuk  sebelah bapa atau ibu (nenek tiri).
  • Isteri anak (menantu), isteri cucu lelaki sebelah anak lelaki atau anak perempuan.
  • Ibu mertua.
  • Anak perempuan isteri (anak tiri) (selepas bapa tiri bersetubuh dengan ibunya).
Haram kerana susuan:
  • Ibu susuan.
  • Adik beradik perempuan susuan.
  • Anak perempuan kepada adik beradik lelaki atau perempuan susuan.
  • Ibu saudara susuan (adik beradik susuan dengan bapa).
  • Anak perempuan susuan (perempuan yang menyusu dengan isteri).
2. Haram untuk sementara waktu
  • Berkahwin atau memadukan (poligami) dengan dua beradik perempuan sekaligus.
  • Memadukan (Poligami) seorang perempuan dengan ibu saudara sebelah ibunya atau bapanya; Memadukan (Poligami) seorang perempuan dengan anak perempuan kepada adik beradik perempuannya atau lelakinya; Memadukan (Poligami) seorang perempuan dengan anak perempuan kepada anak lelakinya atau anak perempuannya.
  • Berkahwin lebih dari empat (4) orang perempuan.
  • Perempuan kafir yang menyembah berhala.
  • Perempuan yang sudah berkahwin (mempunyai suami).
  • Perempuan yang masih dalam iddah.
  • Perempuan yang diceraikan dengan talak tiga (3).

HUKUM BERKAHWIN

  1. SUNAT - Jika seseorang itu ingin berkahwin, memiliki kemampuan dari segi nafkah, mas kahwin serta nafkah kehidupannya dan kehidupan isterinya dan dia merasakan dia tidak akan terjerumus ke dalam perkara maksiat (zina) jika dia tidak berkahwin.
  2. SUNAT MENINGGALKANNYA -Jika seseorang itu ingin berkahwin tetapi tidak mempunyai kemampuan dan nafkah. 
  3. MAKRUH - Jika seseorang itu tidak ingin berkahwin sama ada disebabkan oleh faktor semulajadi, sakit atau sebab-sebab lain.
  4. AFDHAL TIDAK BERKAHWIN - Jika seseorang itu mempunyai kemampuan tetapi dia tidak ingin berkahwin kerana sibuk beribadat dan menuntut ilmu..
  5. AFDHAL BERKAHWIN - Jika seseorang itu tidak sibuk beribadat dan tidak sibuk menuntut ilmu dan dia mempunyai kemampuan untuk berkahwin tetapi tidak ada keperluan untuk berkahwin.