Isnin, 5 November 2012

Jenis Lafaz Cerai

Lafaz cerai terbahagi kepada dua (2) bahagian iaitu:-

(i) Lafaz Soreh; dan
(ii) Lafaz Kinayah

Lafaz soreh ialah lafaz yang digunakan jelas menunjukkan kepada makna talak/cerai dan tidak boleh ditafsirkan kepada makna lain selain talak/cerai. Lafaz soreh ada tiga (3) iaitu talak/cerai, bebas/lepas dan pisah. Contohnya seorang suami berkata kepada isterinya "Aku ceraikan engkau" atau "Aku berpisah dengan engkau".

Hukum lafaz soreh ini ialah jatuh talak sama ada suami berniat menceraikan isteri atau tidak. Ini kerana lafaz soreh tidak perlu kepada niat ketika diucapkan.

Lafaz Kinayah pula ialah lafaz yang boleh ditafsirkan sebagai cerai atau selain cerai. Ada banyak lafaz kinayah diantaranya ialah seorang suami berkata kepada isterinya "Engkau bebas dari aku",  "Engkau terputus hubungan dengan aku", "Kembalilah kepada keluarga engkau", "Jauhkan diri engkau dari aku", "Engkau haram ke atasku" dan lain-lain lagi. Kesemua lafaz ini dianggap kinayah kerana ia boleh ditafsirkan sebagai talak/cerai atau selain talak/cerai.

Hukum lafaz kinayah ialah talak tidak jatuh melainkan suami mempunyai niat menjatuhkan talak kepada isteri.Dengan erti kata lain, Lafaz kinayah memerlukan niat suami untuk menceraikan isteri.

Jika suami ada melafazkan cerai di luar dan tanpa kebenaran mahkamah, maka segeralah bertindak dalam masa tujuh (7) hari untuk melaporkan lafaz cerai di Mahkamah Syariah bagi tujuan pengesahan lafaz cerai.

Isnin, 15 Oktober 2012

Fasakh


Fasakh ialah pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh Hukum Syarak. 

Seksyen 52 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan:- 

(1) Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu—
(a) bahawa tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;
(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
(c) bahawa suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;
(d) bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;
(e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
(f) bahawa suami telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;
(g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali mujbirnya sebelum dia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu;
(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain—
(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau
(ii) berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak; atau
(iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau
(iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu daripada menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; atau
(v) menghalang isteri daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau
(vi) jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak;
(i) bahawa walau pun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya;
(j) bahawa isteri tidak memberi keizinan akan perkahwinan itu atau keizinannya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak;
(k) bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguhpun berkebolehan memberi keizinan yang sah, adalah seorang yang kecelaruan mental, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 [Ord. 31 tahun 1952] bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, atau Ordinan Lunatik bagi Wilayah Persekutuan Labuan [Sabah Bab 74] dan kecelaruan mentalnya adalah daripada suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin;
(l) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.

(1A) Mana-mana orang yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapatkan perintah bagi pembubaran perkahwinan atau fasakh atas alasan bahawa isteri menjadi tidak upaya yang menghalang persetubuhan.

(2) Tiada apa-apa perintah boleh dibuat atas alasan dalam perenggan (1) (c) sehingga hukuman itu telah dikemukakan dan suami telahpun menjalani satu tahun daripada hukuman itu.

(3) Sebelum membuat suatu perintah atas alasan dalam perenggan (1) (e) Mahkamah hendaklah, atas permohonan suami, membuat suatu perintah menghendaki suami memuaskan hati Mahkamah dalam tempoh enam bulan dari tarikh perintah itu bahawa dia tidak lagi mati pucuk, dan jika suami memuaskan hati Mahkamah sedemikian dalam tempoh itu, tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas alasan itu.

(4) Tiada apa-apa perintah boleh dibuat atas mana-mana alasan dalam subseksyen (1) jika suami memuaskan hati Mahkamah bahawa isteri, dengan mengetahui bahawa adalah terbuka kepadanya untuk mendapatkan perkahwinan itu ditolak, telah bertingkah laku terhadap suaminya dengan cara yang menyebabkan suami mempercayai dengan munasabah bahawa isteri tidak akan menolak perkahwinan itu, dan bahawa adalah tidak adil kepada suami jika dibuat perintah itu. 

Jika salah satu dari alasan-alasan di atas berjaya dibuktikan, ianya sudah cukup untuk Mahkamah meluluskan tuntutan fasakh.

Khamis, 14 Jun 2012

Kepentingan Wasiat


Perancangan Pewarisan Harta Islam adalah perlu dilakukan oleh setiap muslim yang ingin memastikan orang yang mereka sayangi terutamanya mereka yang tidak tergolong dalam senarai ahli waris melalui hukum faraid mendapat harta sepertimana yang diingini.

Sekiranya perancangan mengenai pewarisan harta tidak dilakukan, pembahagian harta pusaka adalah ditetapkan oleh hukum faraid di mana hanya ahli waris yang layak sahaja akan menerima pembahagian harta pusaka tersebut.

Bagi mereka yang tidak disenaraikan sebagai ahli waris, tidak berhak untuk menerima harta pusaka Si Mati.

Adalah perlu bagi individu muslim mengetahui siapakah ahli-ahli waris yang berhak mewarisi harta peninggalan mereka dan bahagian masing-masing selepas kematian.

Dalam sistem faraid, ahli waris ditentukan melalui dua cara iaitu perkahwinan dan keturunan. Walaubagaimanapun, pertalian yang hampir dan/atau kuat akan menghalang pertalian yang jauh dari menerima harta pusaka. Contohnya, anak lelaki  Si Mati akan menghalang cucu lelaki Si Mati. Begitu juga Saudara Lelaki Seibu Sebapa akan menghalang Saudara Sebapa dari menerima harta pusaka.

Memandangkan sistem faraid hanya diberi kepada ahli waris yang ditentukan sahaja, wasiat adalah salah satu alternatif lain yang dapat memastikan bahawa mereka yang tidak disenaraikan sebagai ahli waris menerima harta pusaka. Antara golongan tersebut ialah anak angkat, ibu angkat, ayah angkat, adik angkat, kakak angkat, abang angkat, cucu yang dihalang oleh anak, anak yang tidah sah taraf, ibu bapa bukan Islam, ahli keluarga bukan Islam, sahabat karib dan lain-lain yang tidak akan menjadi ahli waris di bawah faraid.

Selain memastikan mereka yang tidak disenaraikan sebagai ahli waris mendapat manfaat harta melalui wasiat selepas kematian Pewasiat, wasiat juga boleh mencairkan harta Si Mati dalam tempoh yang singkat berbanding harta yang ditinggalkan tanpa wasiat.

Melalui amalan di Malaysia, apabila seseorang itu meninggal dunia, semua asetnya akan dibekukan dari sebarang transaksi. Contohnya, wang simpanan Si Mati di Bank dan  pemilikan tanah atas nama Si Mati akan dibekukan sementara pentadbir harta Si Mati mendapatkan probet atau Surat Kuasa Mentadbir di Mahkamah.

Sekiranya seseorang itu meninggal dunia tanpa meninggalkan wasiat, semua ahli waris hendaklah bersetuju untuk melantik seorang pentadbir untuk mentadbir harta Si Mati. Dalam hal ini, sekiranya waris bertelagah dan tidak bersetuju atau ahli waris tidak mengendahkan dalam menentukan siapa pentadbir harta Si Mati, pembahagian Harta Pusaka menjadi sukar untuk diselesaikan dan memakan masa yang lama untuk diselesaikan. Ini berlainan sekiranya wasiat di lakukan. Masalah mengenai persetujuan dikalangan ahli waris untuk melantik pentadbir harta Si Mati tidak berlaku kerana pewasiat sendiri telah melantik pentadbir hartanya di dalam wasiat.

Selain itu, bagi mereka yang mempunyai bebanan hutang yang banyak, wasiat juga boleh menjadi satu pemberitahuan kepada ahli waris supaya membayar terlebih dahulu hutang Si Mati dengan menolak harta pusaka Si Mati sebelum dibahagikan menurut Faraid.

Isnin, 4 Jun 2012

Izin isteri bukan tiket berpoligami

Umum mengetahui bahawa poligami adalah perkara yang dibenarkan dalam agama Islam. Hal ini adalah selaras dengan Surah An-Nisa ayat-3  yang bermaksud: “… kahwinlah kamu dengan perempuan-perempuan yang baik dikalangan kamu dua, tiga dan empat. Jika kamu takut tidak dapat berlaku adil, maka cukuplah satu.”

Rasulullah s.a.w telah memberi amaran bagi mereka yang berpoligami tentang akibat ke atas suami yang tidak melakukan keadilan diantara isteri-isterinya. Sabda Nabi s.a.w:  “Barangsiapa yang beristeri dua sedangkan dia lebih mementingkan (cenderung kepada) salah seorang daripada kedua isterinya, nescaya dia akan datang pada hari kiamat kelak dalam keadaan  rusuknya cenderung (bengkok).”

Melalui dalil-dalil di atas, dapat dilihat bahawa hukum dibolehkan poligami adalah dengan syarat wujudnya keadilan oleh suami terhadap isteri-isteri yang dinikahinya.

Selaras dengan kehendak Hukum Syarak ini, maka undang-undang keluarga Islam khususnya peruntukan berkenaan poligami dibentuk bagi memastikan keadilan kepada isteri-isteri sentiasa terpelihara sebelum suami berpoligami. Peruntukan khusus mengenai poligami telah diperuntukan di bawah Seksyen 23 Akta Undang-undang keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.

Walaupun Seksyen 23(3) Akta Undang-Undang keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 menghendaki suami yang ingin memohon poligami menyatakan dalam Surat Akuan samada keizinan atau pandangan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap perkahwinan yang dicadangkan itu, tetapi harus diberi perhatian bahawa keizinan isteri bukanlah syarat untuk Mahkamah membenarkan poligami yang di pohon oleh suami. Begitu juga sebaliknya, bantahan isteri bukan syarat untuk Mahkamah menolak permohonan poligami suami.

Seksyen 23(4) Akta Undang-Undang keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 telah menggariskan bahawa dalam permohonan kebenaran poligami, Pemohon (suami) dan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada hendaklah hadir ke Mahkamah untuk memberikan keterangan bagi Mahkamah mengenalpasti samada syarat-syarat kebenaran poligami menurut Hukum Syarak dan Undang-undang telah dipatuhi atau sebaliknya.

Kebenaran berpoligami hanya diberikan oleh Mahkamah setelah Mahkamah berpuashati terhadap perkara-perkara berikut:-
    (a) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu, memandang kepada, antara lain, hal keadaan yang berikut, iaitu, kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak persetubuhan, atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;
    (b) bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syarak, semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu;
    (c) bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syarak; dan 

    (d) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syarie kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;
Sekiranya Mahkamah berpuashati bahawa kesemua syarat-syarat (a), (b), (c) dan (d) di atas telah dipenuhi, maka Mahkamah boleh membenarkan suami berpoligami walaupun ditentang oleh isteri sedia ada. Tetapi sebaliknya, jika syarat-syarat tersebut di atas tidak dipenuhi, Mahkamah boleh menolak permohonan poligami suami walaupun isteri memberi keizinan suami berpoligami.

Oleh yang demikian, keizinan isteri bukanlah syarat untuk membenarkan suami berpoligami tetapi ialah keadilan kepada isteri-isteri yang perlu dititikberatkan bagi suami yang berhasrat untuk berpoligami.

Isnin, 9 April 2012

Jenis-jenis perceraian

Sebelum seseorang itu memfailkan permohonan perceraian, dia perlu mengetahui terlebih dahulu apakah jenis perceraian yang perlu dipohon di Mahkamah bersesuaian dengan situasi yang dihadapinya.

Terdapat lima (5) jenis perceraian yang boleh di pohon berdasarkan Hukum Syarak dan Undang-undang mengikut situasi-situasi berikut iaitu :-

 (i) Perceraian secara lafaz talaq melalui persetujuan bersama atau lebih dikenali sebagai perceraian di bawah Seksyen 47.
- Perceraian ini boleh dipohon hanya apabila kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri bersetuju untuk bercerai secara baik dimana suami akan melafazkan talaq satu (1) kepada isteri dengan kebenaran dan izin Mahkamah.

(ii) Perceraian secara taklik.
 - Perceraian ini berlaku apabila suami ada melafazkan lafaz taklik kepada isteri secara sah berdasarkan hukum syarak. Contohnya ialah lafaz taklik yang tertera di surat nikah.

(iii) Perceraian melalui khuluk (tebus talak)
-  Perceraian ini berlaku apabila suami bersetuju untuk menceraikan isteri dengan syarat isteri bersetuju menyerahkan sejumlah wang (contohnya RM10,000.00) sebagai tebus talak.


(iv) Perceraian secara fasakh iaitu pembubaran perkahwinan oleh Hakim berdasarkan alasan-alsan yang diiktiraf oleh Hukum Syarak.

(v) Pengesahan lafaz cerai.
- Permohonan pengesahan cerai berlaku apabila suami telah melafazkan cerai kepada isterinya di luar dan tanpa izin Mahkamah. Perceraian tersebut masih perlu disahkan oleh Mahkamah terlebih dahulu.