Khamis, 14 Julai 2011

Perkahwinan tanpa pengetahuan dan restu ibubapa

Sepanjang saya mengendalikan kes-kes kekeluarga Islam di Mahkamah Syariah, saya telah menemui beberapa kes yang agak menarik perhatian saya berkaitan perkahwinan yang dilakukan tanpa pengetahuan dan restu ibubapa yang boleh saya kongsi bersama-sama untuk kita mengambil pengajaran disebalik setiap peristiwa.

Kes pertama yang saya temui ialah dimana perkahwinan dilangsungkan diantara seorang perempuan warganegara Malaysia dengan lelaki warga asing. Perkahwinan ini dilakukan di negara pasangan lelaki. Semasa berkahwin status perempuan adalah anak dara, masih lagi menuntut di Universiti luar negara manakala  status pasangan lelaki ialah telah berkahwin. Ini ialah pernikahan poligami. Perkahwinan dilangsungkan tanpa pengetahuan apatahlagi restu dari ibubapa gadis. Apabila pulang sahaja ke Malaysia,  ibubapa gadis ini mendapat tahu dari lelaki tersebut bahawa dia telah berkahwin dengan anak perempuan mereka di negara lelaki tersebut. Berita ini amat memeranjatkan ibubapa perempuan tersebut  dan ibubapa tersebut telah menghalang lelaki ini untuk terus berjumpa dengan anak perempuan mereka. Rentetan itu, lelaki ini telah membuat permohonan pengesahan pernikahan di Mahkamah Syariah. Dalam permohonan pengesahan nikah ini, perempuan tersebut tidak bersetuju pernikahan yang dilangsungkan tersebut disahkan oleh Mahkamah dengan alasan semasa pernikahan, beliau diberi pengaruh yang tidak wajar oleh lelaki tersebut.

Kes yang kedua ialah dimana pasangan ini melangsungkan perkahwinan di negara jiran tanpa mengikut prosedur undang-undang negara jiran tersebut. Perkahwinan hanya dilakukan disebuah hotel. Perkahwinan juga dilakukan tanpa pengatahuan dan restu ibubapa. Status perempuan adalah anak dara dan merupakan seorang yang berpendidikan tinggi dan bekerja sebagai pensyarah. Perempuan adalah warganegara Malaysia manakala lelaki bukan warganegara. Perkahwinan ini juga adalah perkahwinan poligami. Apabila ibubapa perempuan ini mendapat tahu anak mereka telah bernikah dengan lelaki tersebut, ibubapa perempuan ini juga marah. Lelaki tersebut telah memfailkan permohonan pengesahan pernikahan di Mahkamah Syariah untuk mendapatkan haknya. Permohonan telah dibantah oleh perempuan tersebut.

Kes yang ketiga ialah perkahwinan diantara wanita warganegara Malaysia dengan lelaki bukan warganegara. Perkahwinan ini dilakukan di negara lelaki tersebut. status perempuan ialah anak dara manakala lelaki adalah bujang. Pernikahan ini dilakukan di negara lelaki tersebut tanpa pengatahun dan izin bapa perempuan kerana perhubungan mereka telah dibantah keras oleh ayah perempuan tersebut dengan alasan lelaki tersebut tidak sekufu dengan anak perempuannya. Perempuan ini bekerja sebagai pensyarah tahap pendidikan ialah PhD.Lelaki bekerja sebagai guru. Pasangan memohon Mahkamah mengesahkan pernikahan mereka tetapi ayahnya membantah dan memohon supaya pernikahan mereka difaraqkan.

Kes yang keempat pula ialah perkahwinan diantara pasangan warganegara malaysia yang dilangsungkan di negara jiran kerana perhubungan mereka mendapat tentangan yang hebat dari ibubapa gadis. Perempuan  masih lagi menuntut di Universiti tempatan. Pasangan ini juga memfailkan permohonan pengesahan pernikahan tetapi dibantah oleh ayahnya.

Daripada keempat-empat kes yang saya kongsikan ini, apakah yang dapat anda semua lihat dan simpulkan? Mengapa perkahwinan di luar pengetahuan ibubapa berlaku? Ingin saya menarik perhatian anda semua bahawa perkahwinan yang saya kongsikan ini adalah berlaku dikalangan wanita-wanita yang berpendidikan tinggi. Apakah wanita-wanita ini yang salah kerana berkahwin tanpa pengetahuan ibubapa atau lelaki-lelaki yang memujuk mereka berkahwin atau ibubapa gadis yang bersalah kerana tidak merestui perhubungan anak meraka? Siapakah yang bersalah? Adakah ini yang dinamakan kuasa cinta?Apakah cinta itu begitu sangat mempengaruhi sehingga orang yang berpendidikan melupakan ibubapa untuk berkahwin dengan lelaki pilihan mereka? Apabila sangat mencintai, ibubapa tidak merestui, maka perkahwinan dilakukan tanpa pengetahuan ibubapa? Apakah anak gadis ini berdosa kerana berkahwin tanpa restu keluarga? Adakah Islam menggalakkan berkahwin tanpa restu keluarga? Apakah jalan yang terbaik apabila ibubapa tidak merestui perkahwinan? Apakah Islam membenarkan bercinta sebelum berkahwin? Adakah ini salah satu kesan mengapa Islam tidak membenarkan cinta sebelum berkahwin? Anda pasti ada jawapannya...












Tiada ulasan:

Catat Ulasan