Selasa, 12 Mei 2020

JATUH TALAK KE TAK?

Saya selalu dapat soalan yang meminta pandangan saya tentang hukum jatuh atau tidak lafaz talak yang di lafazkan oleh suami.

"Saya nak tahu, dah jatuh talak ke belum?"

"Apa status saya sekarang?"

"Sebenarnya kami pernah bercerai sebelum ni, tapi suami dah rujuk. Dah 2x, ini kali ke 3 suami lafaz. Macamana ye?"

Terus terang saya katakan bahawa saya sangat berhati-hati dalam menjawab persoalan hukum terutamanya berkaitan dengan Hukum Syarak lebih-lebih lagi berkaitan dengan hukum jatuh talak.

Tuan-tuan dan puan-puan, selalu saya katakan hanya HAKIM yang berbidangkuasa sahaja yang boleh atau layak menentukan status pernikahan/perceraian seseorang. Bukan saya. Bukan ustaz, bukan ustazah dan bukan juga Imam. Walaupun golongan-golongan ini tahu hukum berkaitan, tetapi yang berkuasa menentukan jatuh atau tidak adalah HAKIM yang berbidangkuasa.

Saya sangat berhati-hati dengan jawapan kerana saya tidak mahu ada yang berpegang dengan pandangan saya semata-mata jika saya mengatakan talak tidak jatuh dan mengambil keputusan untuk tidak merujuk ke Mahkamah untuk disiasat oleh hakim sedangkan saya hanya mendengar aduan dari sebelah pihak sahaja. Jika saya katakan talak tidak jatuh, tetapi hakikat sebenarnya talak itu sabit dan jatuh, siapakah yang akan dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan?

Perkara yang melibatkan pernikahan dan perceraian bukanlah perkara yang boleh dibuat main-main atau diambil mudah kerana selain melibatkan dosa dan pahala, ia juga melibatkan nasab/keturunan.

Kebanyakan yang mengadu adalah wanita (isteri) sedangkan lafaz itu datangnya dari suami. Jadi, kata-kata suami atau keterangan suami perlu diambil untuk mengetahui keadaan sebenar semasa lafaz cerai dilafazkan.

Hanya HAKIM yang layak memutuskan status pernikahan/perceraian setelah membuat siasatan dengan mendengar keterangan dari kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri.

Berkaitan dengan jenis lafaz cerai, saya telah share video berkaitan untuk pengetahuan umum. Boleh tonton di sini https://www.facebook.com/peguamsyarie.farihah/videos/821006491657281/

Bagi mereka yang telah melafazkan cerai kepada isteri di luar Mahkamah, saya nasihatkan untuk terus memfailkan kes pengesahan cerai di Mahkamah Syariah.

Lafaz telah wujud, samada jatuh talak atau tidak, Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk menentukan perkara tersebut.