Rabu, 22 April 2015

KES SEKSYEN 47 TANPA KEHADIRAN SUAMI

Pada hari ini saya mengendalikan kes perceraian secara persetujuan bersama (Seksyen 47) dimana saya mewakili Plaintif  (isteri).  Walaubagaimanapun, pada hari ini Defendan (suami) tidak hadir ke Mahkamah tanpa sebarang alasan munasabah walaupun Saman dan Surat Akuan telah diserahkan kepada Defendan (suami) 12 hari sebelum kes sebutan pada hari ini.

Plaintif (isteri) ada memaklumkan kepada Mahkamah bahawa Defendan ada memberitahunya yang dia tidak akan hadir ke Mahkamah.

Di atas keengganan Defendan tersebut, saya sebagai Peguam Syarie yang mewakili Plaintif telah memohon kepada Mahkamah agar Mahkamah mengeluarkan waran tangkap untuk menangkap Defendan supaya hadir ke Mahkamah. Mahkamah telah meluluskan permohonan pihak Plaintif.

Suka saya memberitahu bahawa apabila kes difailkan di mahkamah, Defendan hendaklah diserahkan sesalinan saman atau dokumen lain untuk hadir ke Mahkamah pada hari yang ditetapkan oleh Mahkamah. Penyerahan saman atau dokumen hendaklah diserahkan secara kediri Defendan. Defendan sendiri yang menerima dan menandatangai pengakuterimaan penyampaian sebagai bukti penyampaian. Saman atau dokumen tidak boleh diserahkan kepada orang lain selain dari Defendan.

Penyerahan saman atau dokumen lain hendaklah diserahkan tidak kurang tujuh (7) hari genap sebelum hari kehadian yang telah ditetapkan Mahkamah.

Apabila Defendan telah menerima saman atau dokumen lain dan menandatangani akuan penerimaan sebagai bukti penyampaian, Plaintif perlulah memfailkan satu Afidavit Penyampaian di Mahkamah.

Dalam kes yang saya kendalikan ini, Defendan telah menerima Saman dua belas (12) hari sebelum kes sebutan di Mahkamah iaitu melebihi masa yang diperuntukkan undang-undang. Malah, tempoh dua belas (12) hari ini adalah satu masa yang cukup untuk Defendan membuat persediaan bagi menjawab tuntutan Plaintif di Mahkamah.

Seksyen 51 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan:-

“Seksyen 51. Mengeluarkan waran sebagai ganti atau tambahan kepada saman

Mahkamah boleh, dalam mana-mana hal yang Mahkamah berkuasa mengeluarkan saman bagi kehadiran mana-mana orang, setelah merekodkan alasannya, mengeluarkan waran untuk menangkapnya jika—

(a) sama ada sebelum atau selepas saman dikeluarkan tetapi sebelum masa yang ditetapkan bagi kehadirannya, Mahkamah berpendapat ada alasan untuk mempercayai bahawa dia telah melarikan diri atau tidak akan mematuhi saman itu; atau

(b) pada masa itu dia tidak hadir dan saman itu dibuktikan telah disampaikan dengan sempurna dalam masa yang mencukupi bagi memastikan kehadirannya mengikut saman itu dan tiada alasan munasabah diberikan bagi ketakhadiran itu.”

Berdasarkan Seksyen 51 (b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap sebagai ganti kepada saman jika pada masa hari sebutan kes Defendan tidak hadir, saman diserahkan pada masa yang mencukupi dan tidak ada alasan yang munasabah diberikan bagi ketidakhadirannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan