Perancangan
Pewarisan Harta Islam adalah perlu dilakukan oleh setiap muslim yang ingin
memastikan orang yang mereka sayangi terutamanya mereka yang tidak tergolong
dalam senarai ahli waris melalui hukum faraid mendapat harta sepertimana yang
diingini.
Sekiranya
perancangan mengenai pewarisan harta tidak dilakukan, pembahagian harta pusaka
adalah ditetapkan oleh hukum faraid di mana hanya ahli waris yang layak sahaja
akan menerima pembahagian harta pusaka tersebut.
Bagi
mereka yang tidak disenaraikan sebagai ahli waris, tidak berhak untuk menerima
harta pusaka Si Mati.
Adalah
perlu bagi individu muslim mengetahui siapakah ahli-ahli waris yang berhak
mewarisi harta peninggalan mereka dan bahagian masing-masing selepas kematian.
Dalam
sistem faraid, ahli waris ditentukan melalui dua cara iaitu perkahwinan dan
keturunan. Walaubagaimanapun, pertalian yang hampir dan/atau kuat akan
menghalang pertalian yang jauh dari menerima harta pusaka. Contohnya, anak
lelaki Si Mati akan menghalang cucu
lelaki Si Mati. Begitu juga Saudara Lelaki Seibu Sebapa akan menghalang Saudara
Sebapa dari menerima harta pusaka.
Memandangkan
sistem faraid hanya diberi kepada ahli waris yang ditentukan sahaja, wasiat
adalah salah satu alternatif lain yang dapat memastikan bahawa mereka yang
tidak disenaraikan sebagai ahli waris menerima harta pusaka. Antara golongan
tersebut ialah anak angkat, ibu angkat,
ayah angkat, adik angkat, kakak angkat, abang angkat, cucu yang dihalang oleh
anak, anak yang tidah sah taraf, ibu bapa bukan Islam, ahli keluarga bukan
Islam, sahabat karib dan lain-lain yang tidak akan menjadi ahli waris di bawah
faraid.
Selain
memastikan mereka yang tidak disenaraikan sebagai ahli waris mendapat manfaat
harta melalui wasiat selepas kematian Pewasiat, wasiat juga boleh mencairkan
harta Si Mati dalam tempoh yang singkat berbanding harta yang ditinggalkan
tanpa wasiat.
Melalui
amalan di Malaysia,
apabila seseorang itu meninggal dunia, semua asetnya akan dibekukan dari
sebarang transaksi. Contohnya, wang simpanan Si Mati di Bank dan pemilikan tanah atas nama Si Mati akan
dibekukan sementara pentadbir harta Si Mati mendapatkan probet atau Surat Kuasa
Mentadbir di Mahkamah.
Sekiranya
seseorang itu meninggal dunia tanpa meninggalkan wasiat, semua ahli waris
hendaklah bersetuju untuk melantik seorang pentadbir untuk mentadbir harta Si
Mati. Dalam hal ini, sekiranya waris bertelagah dan tidak bersetuju atau ahli
waris tidak mengendahkan dalam menentukan siapa pentadbir harta Si Mati,
pembahagian Harta Pusaka menjadi sukar untuk diselesaikan dan memakan masa yang
lama untuk diselesaikan. Ini berlainan sekiranya wasiat di lakukan. Masalah
mengenai persetujuan dikalangan ahli waris untuk melantik pentadbir harta Si
Mati tidak berlaku kerana pewasiat sendiri telah melantik pentadbir hartanya di
dalam wasiat.
Selain
itu, bagi mereka yang mempunyai bebanan hutang yang banyak, wasiat juga boleh
menjadi satu pemberitahuan kepada ahli waris supaya membayar terlebih dahulu
hutang Si Mati dengan menolak harta pusaka Si Mati sebelum dibahagikan menurut
Faraid.