Fasakh
ialah pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh
Hukum Syarak.
Seksyen
52 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984
memperuntukkan:-
(1)
Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat
suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu
atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu—
(a) bahawa tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui
selama tempoh lebih daripada satu tahun;
(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan
peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
(c) bahawa suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga
tahun atau lebih;
(d) bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang
munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;
(e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan
masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami
telah mati pucuk;
(f) bahawa suami telah gila selama tempoh dua tahun atau
sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit
kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;
(g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali mujbirnya
sebelum dia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur
lapan belas tahun, dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu;
(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain—
(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita
disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau
(ii) berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai
keji mengikut pandangan Hukum Syarak; atau
(iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau
(iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu
daripada menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; atau
(v) menghalang isteri daripada menunaikan atau menjalankan
kewajipan atau amalan agamanya; atau
(vi) jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia
tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak Hukum
Syarak;
(i) bahawa walau pun empat bulan berlalu tetapi isteri masih
belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya;
(j) bahawa isteri tidak memberi keizinan akan perkahwinan
itu atau keizinannya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan,
ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak;
(k) bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguhpun
berkebolehan memberi keizinan yang sah, adalah seorang yang kecelaruan mental,
sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 [Ord.
31 tahun 1952] bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, atau Ordinan Lunatik bagi
Wilayah Persekutuan Labuan [Sabah Bab 74] dan kecelaruan mentalnya adalah
daripada suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk
berkahwin;
(l) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi
membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.
(1A)
Mana-mana orang yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapatkan perintah
bagi pembubaran perkahwinan atau fasakh atas alasan bahawa isteri menjadi tidak
upaya yang menghalang persetubuhan.
(2)
Tiada apa-apa perintah boleh dibuat atas alasan dalam perenggan (1) (c)
sehingga hukuman itu telah dikemukakan dan suami telahpun menjalani satu tahun
daripada hukuman itu.
(3)
Sebelum membuat suatu perintah atas alasan dalam perenggan (1) (e) Mahkamah
hendaklah, atas permohonan suami, membuat suatu perintah menghendaki suami
memuaskan hati Mahkamah dalam tempoh enam bulan dari tarikh perintah itu bahawa
dia tidak lagi mati pucuk, dan jika suami memuaskan hati Mahkamah sedemikian
dalam tempoh itu, tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas alasan itu.
(4)
Tiada apa-apa perintah boleh dibuat atas mana-mana alasan dalam subseksyen (1)
jika suami memuaskan hati Mahkamah bahawa isteri, dengan mengetahui bahawa
adalah terbuka kepadanya untuk mendapatkan perkahwinan itu ditolak, telah
bertingkah laku terhadap suaminya dengan cara yang menyebabkan suami mempercayai
dengan munasabah bahawa isteri tidak akan menolak perkahwinan itu, dan bahawa
adalah tidak adil kepada suami jika dibuat perintah itu.
Jika
salah satu dari alasan-alasan di atas berjaya dibuktikan, ianya sudah
cukup untuk Mahkamah meluluskan tuntutan fasakh.