Rabu, 20 Disember 2017

LAFAZ TALAK

Berdasarkan peruntukan undang-undang, terdapat dua bentuk lafaz talak:-

1) Lafaz talak di dalam dan dengan kebenaran Mahkamah

Maksud lafaz talak dengan kebenaran Mahkamah ini ialah lafaz talak yang dilafazkan di dalam dan dengan kebenaran Mahkamah. 

Apabila Mahkamah membenarkan lafaz talak, barulah suami boleh melafazkan talak terhadap isteri. Mahkamah akan menasihati suami untuk melafazkan satu talak sahaja di hadapan Mahkamah. Jika suami melafazkan lebih dari satu talak sebagaimana yang dinasihati oleh Mahkamah, perbuatan tersebut boleh dianggap sebagai satu penghinaan kepada Mahkamah.

Permohonan perceraian dengan talak atau dengan perintah Mahkamah difailkan berdasarkan peruntukan Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (WIlayah-wilayah Persekutuan) 1984. 

2) Lafaz talak di luar dan tanpa kebenaran Mahkamah.

Lafaz ini terjadi apabila suami melafazkan cerai terhadap isteri di luar Mahkamah tanpa mendapat kebenaran daripada Mahkamah. Kebiasannya lafaz ini berlaku apabila suami isteri bergaduh di sesuatu tempat dan suami terus menceraikan isteri di tempat tersebut samada disaksikan atau tidak disaksikan oleh sesiapa. 

Lafaz talak di luar dan tanpa kebenaran Mahkamah perlu dilaporkan kepada Mahkamah dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh talak tersebut dilafazkan.

Bagi permohonan lafaz talak di luar dan tanpa kebenaran Mahkamah ini, permohonan dibuat berdasarkan peruntukan Seksyen 55A Akta Undang-undang Keluarga Islam (WIlayah-wilayah Persekutuan) 1984.

Perlu diberi perhatian bahawa lafaz talak di luar dan tanpa kebenaran Mahkamah ini merupakan satu kesalahan dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM1000.00 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya (denda dan penjara). Ini sebagaimana yang diperuntukan dalam Seksyen 124 Akta Undang-undang Keluarga Islam (WIlayah-wilayah Persekutuan) 1984.