Jumaat, 23 November 2018

ISTERI TIDAK TAHU SUAMI TELAH MENINGGAL

Semasa saya sedang menunggu sebutan kes yang saya wakili dipanggil oleh Pendaftar, ada kes-kes lain yang dipanggil lebih awal.

Ada 1 kes ini yang menarik perhatian saya. Dimana isteri memfailkan perceraian fasakh. Sejak tahun 2008 isteri tidak lagi tinggal bersama suami. Sejak dari itu juga suami isteri ini tidak berhubung antara satu sama lain.

Pada 2018, isteri hadir ke Mahkamah dan memfailkan permohonan fasakh. Seperti biasa, sebelum kes boleh dibicarakan, Mahkamah akan mengarahkan sesalinan Saman dan Pernyataan Tuntutan diserahkan kepada Defendan (suami).

Dalam kes ini, dalam usaha isteri menyerahkan dokumen tersebut kepada suami, si isteri baru mendapat tahu suaminya telah meninggal dunia pada tahun 2012.

Suami telah meninggal pada tahun 2012 dan isteri hanya tahu pada tahun 2018. Itupun setelah isteri failkan kes di Mahkamah.

Apa pengajaran yang kita boleh ambil dari kisah ini? Banyak pengajaran sebenarnya.

Bagi para isteri, 3 bulan (qamariah) suami tidak beri nafkah berturut-turut, isteri ada hak untuk menuntut cerai. Tempoh 10 tahun adalah terlalu lama keputusan diambil untuk perceraian dimana dalam tempoh ini ada kaitan antara dosa dan pahala dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan sebagai suami dan isteri.

Jumaat, 16 Mac 2018

TEGAHAN KACAU GANGGU

Seorang isteri yang telah memfailkan perceraian di Mahkamah boleh membuat permohonan tegahan kacau ganggu terhadap suami sekiranya isteri bimbang suaminya akan bertindak ganas terhadapnya dengan cara memukul atau ugutan membahayakan nyawanya atau mengenakan tekanan mental dan emosi yang bersangatan terhadap isteri.


Permohonan tegahan kacau ganggu ini boleh dimohon secara ex-parte (sebelah pihak) jika wujudnya keadaan yang sangat mendesak.

Seksyen 107 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan:-

Seksyen 107. Injunksi terhadap gangguan
(1) Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa dalam masa perbicaraan hal ehwal suami isteri masih belum selesai atau pada atau selepas pemberian sesuatu perintah perceraian, fasakh, atau pembatalan, memerintahkan seseorang menahan dirinya daripada mengganggu atau menceroboh; dengan apa-apa cara pun ke atas suami atau isteri atau bekas suami atau bekas isterinya.
(2) Kemungkiran mematuhi sesuatu perintah yang dibuat di bawah seksyen ini boleh dikenakan hukuman sebagai suatu penghinaan terhadap Mahkamah.

Permohonan tegahan kacau ganggu ini hendaklah di mohon di Mahkamah Tinggi Syariah dimana Pemohon tinggal.