Jumaat, 23 November 2018

ISTERI TIDAK TAHU SUAMI TELAH MENINGGAL

Semasa saya sedang menunggu sebutan kes yang saya wakili dipanggil oleh Pendaftar, ada kes-kes lain yang dipanggil lebih awal.

Ada 1 kes ini yang menarik perhatian saya. Dimana isteri memfailkan perceraian fasakh. Sejak tahun 2008 isteri tidak lagi tinggal bersama suami. Sejak dari itu juga suami isteri ini tidak berhubung antara satu sama lain.

Pada 2018, isteri hadir ke Mahkamah dan memfailkan permohonan fasakh. Seperti biasa, sebelum kes boleh dibicarakan, Mahkamah akan mengarahkan sesalinan Saman dan Pernyataan Tuntutan diserahkan kepada Defendan (suami).

Dalam kes ini, dalam usaha isteri menyerahkan dokumen tersebut kepada suami, si isteri baru mendapat tahu suaminya telah meninggal dunia pada tahun 2012.

Suami telah meninggal pada tahun 2012 dan isteri hanya tahu pada tahun 2018. Itupun setelah isteri failkan kes di Mahkamah.

Apa pengajaran yang kita boleh ambil dari kisah ini? Banyak pengajaran sebenarnya.

Bagi para isteri, 3 bulan (qamariah) suami tidak beri nafkah berturut-turut, isteri ada hak untuk menuntut cerai. Tempoh 10 tahun adalah terlalu lama keputusan diambil untuk perceraian dimana dalam tempoh ini ada kaitan antara dosa dan pahala dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan sebagai suami dan isteri.