Selasa, 3 September 2019

PUNCA PERCERAIAN

Dalam perkahwinan, pasti akan ada perkara yg menyakitkan hati kita dari pasangan. Pasti ada pergaduhan. Pasti ada perselisihan. Tetapi ia tidak bermaksud pasangan tersebut tidak serasi. Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri.

Apa yg sy lihat dlm hubungan perkahwinan, pada pandangan peribadi sy, apa yg penting dalam hubungan perkahwinan adalah PERSEFAHAMAN.

Ramai org yg bercerai pd hari ini disebabkan tidak ada persefahaman. Maksudnya, <<<kau tak faham aku dan aku tak faham dan aku tak mahu faham pun.>>> Itulah sebab mengapa perceraian berlaku. Tidak ada persefahaman dlm banyak perkara.

Jika nak kata perceraian berlaku disebabkan masalah kewangan. Itu tidak tepat. Sebab, sy melihat ramai je pasangan di luar sana yg hidup miskin, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, tetapi hidup mereka bahagia. Dan ada juga yg hidup kaya raya, masih juga bercerai. Jadi tahap kewangan bukan ukuran perceraian.

Jika nak kata perceraian disebabkan suami pukul, sy sendiri pernah handle kes isteri dipukul oleh suami. Tetapi isteri masih lagi boleh bertahan sehingga ke saat ini. Jadi, jika dikatakan sikap baran itu sebagai alasan perceraian, jawapannya juga tidak tepat.

Jika dikatakan poligami itu punca perceraian, ramai juga pasangan yg poligami tetapi masih kekal bahagia hingga ke hari ini.

Jadi, apa sebenarnya punca perceraian?

Pd pandangan sy dari pengalaman yg sy lalui selama 10 tahun, sy melihat puncanya disebabkan tidak faham pasangan. Sudahlah tidak faham, tidak pula rasa nak faham. Jadi, itulah timbulnya berbagai isu.
Jadi, utk rasa bahagia cuba kita kenal dulu pasangan kita. Fahami kehendak dia. Itulah tips bahagia 🌷💕

Sy doakan semua yg membaca ini bahagia dan mula belajar utk memahami pasangan dengan baik 👍

Rabu, 12 Jun 2019

PERINTAH HADHANAH (HAK JAGAAN ANAK)

Saya pernah menasihati anakguam saya supaya mendapatkan Perintah Hadhanah (Hak Jagaan Anak) secepat mungkin selepas berlakunya perceraian.
.
"Kenapa perlu saya failkan kes hadhanah sedangkan ayahnya tak nak pun jaga anak ni?"
.
Ya, betul.. Sekarang ni memang dia tak nak jaga anak ni.. Tapi, puan kena fikir dikemudian hari. Manusia itu berubah dan kita tidak boleh jangka apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Sementara sekarang ni dia tak nak jaga anak, lebih baik dapatkan hak jagaan sekarang.
.
Mengikut pengalaman saya, kebiasaannya pihak sekolah akan minta Perintah Hadhanah untuk pendaftaran anak bagi ibu bapa yang telah bercerai. Jika tidak ada perintah, masalah akan timbul jika ibubapa tidak memberikan kerjasama yang baik.
.
Selain itu, Perintah Hadhanah ini adalah salah satu cara untuk menjaga tingkahlaku ibubapa. Kenapa saya katakan begini? Kerana.. dengan adanya perintah Mahkamah, kedua-dua pihak akan lebih berhati-hati supaya tidak ada sebarang perlanggaran yang berlaku terhadap perlaksanaan perintah Mahkamah.
.
Jika tidak ada perintah hadhanah, siapa yang layak menjaga anak-anak? Kedua-dua ibubapa adalah layak. Tidak ada istilah ibu culik anak atau bapa culik anak...
.
Jika bapa membawa lari anak yang berada di bawah jagaan ibunya, sedangkan tidak ada perintah mahkamah berkaitan penjagaan, maka si ibu perlu mendapatkan Perintah Hadhanah terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan undang-undang boleh dibuat terhadap si bapa.
.
Jadi adalah lebih baik Perintah Hak Jagaan Anak diperolehi lebih awal walaupun tidak ada sebarang perebutan penjagaan dari mana-mana pihak.

Rabu, 13 Mac 2019

Jumaat, 23 November 2018

ISTERI TIDAK TAHU SUAMI TELAH MENINGGAL

Semasa saya sedang menunggu sebutan kes yang saya wakili dipanggil oleh Pendaftar, ada kes-kes lain yang dipanggil lebih awal.

Ada 1 kes ini yang menarik perhatian saya. Dimana isteri memfailkan perceraian fasakh. Sejak tahun 2008 isteri tidak lagi tinggal bersama suami. Sejak dari itu juga suami isteri ini tidak berhubung antara satu sama lain.

Pada 2018, isteri hadir ke Mahkamah dan memfailkan permohonan fasakh. Seperti biasa, sebelum kes boleh dibicarakan, Mahkamah akan mengarahkan sesalinan Saman dan Pernyataan Tuntutan diserahkan kepada Defendan (suami).

Dalam kes ini, dalam usaha isteri menyerahkan dokumen tersebut kepada suami, si isteri baru mendapat tahu suaminya telah meninggal dunia pada tahun 2012.

Suami telah meninggal pada tahun 2012 dan isteri hanya tahu pada tahun 2018. Itupun setelah isteri failkan kes di Mahkamah.

Apa pengajaran yang kita boleh ambil dari kisah ini? Banyak pengajaran sebenarnya.

Bagi para isteri, 3 bulan (qamariah) suami tidak beri nafkah berturut-turut, isteri ada hak untuk menuntut cerai. Tempoh 10 tahun adalah terlalu lama keputusan diambil untuk perceraian dimana dalam tempoh ini ada kaitan antara dosa dan pahala dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan sebagai suami dan isteri.

Jumaat, 16 Mac 2018

TEGAHAN KACAU GANGGU

Seorang isteri yang telah memfailkan perceraian di Mahkamah boleh membuat permohonan tegahan kacau ganggu terhadap suami sekiranya isteri bimbang suaminya akan bertindak ganas terhadapnya dengan cara memukul atau ugutan membahayakan nyawanya atau mengenakan tekanan mental dan emosi yang bersangatan terhadap isteri.


Permohonan tegahan kacau ganggu ini boleh dimohon secara ex-parte (sebelah pihak) jika wujudnya keadaan yang sangat mendesak.

Seksyen 107 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan:-

Seksyen 107. Injunksi terhadap gangguan
(1) Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa dalam masa perbicaraan hal ehwal suami isteri masih belum selesai atau pada atau selepas pemberian sesuatu perintah perceraian, fasakh, atau pembatalan, memerintahkan seseorang menahan dirinya daripada mengganggu atau menceroboh; dengan apa-apa cara pun ke atas suami atau isteri atau bekas suami atau bekas isterinya.
(2) Kemungkiran mematuhi sesuatu perintah yang dibuat di bawah seksyen ini boleh dikenakan hukuman sebagai suatu penghinaan terhadap Mahkamah.

Permohonan tegahan kacau ganggu ini hendaklah di mohon di Mahkamah Tinggi Syariah dimana Pemohon tinggal.





Rabu, 20 Disember 2017

LAFAZ TALAK

Berdasarkan peruntukan undang-undang, terdapat dua bentuk lafaz talak:-

1) Lafaz talak di dalam dan dengan kebenaran Mahkamah

Maksud lafaz talak dengan kebenaran Mahkamah ini ialah lafaz talak yang dilafazkan di dalam dan dengan kebenaran Mahkamah. 

Apabila Mahkamah membenarkan lafaz talak, barulah suami boleh melafazkan talak terhadap isteri. Mahkamah akan menasihati suami untuk melafazkan satu talak sahaja di hadapan Mahkamah. Jika suami melafazkan lebih dari satu talak sebagaimana yang dinasihati oleh Mahkamah, perbuatan tersebut boleh dianggap sebagai satu penghinaan kepada Mahkamah.

Permohonan perceraian dengan talak atau dengan perintah Mahkamah difailkan berdasarkan peruntukan Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (WIlayah-wilayah Persekutuan) 1984. 

2) Lafaz talak di luar dan tanpa kebenaran Mahkamah.

Lafaz ini terjadi apabila suami melafazkan cerai terhadap isteri di luar Mahkamah tanpa mendapat kebenaran daripada Mahkamah. Kebiasannya lafaz ini berlaku apabila suami isteri bergaduh di sesuatu tempat dan suami terus menceraikan isteri di tempat tersebut samada disaksikan atau tidak disaksikan oleh sesiapa. 

Lafaz talak di luar dan tanpa kebenaran Mahkamah perlu dilaporkan kepada Mahkamah dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh talak tersebut dilafazkan.

Bagi permohonan lafaz talak di luar dan tanpa kebenaran Mahkamah ini, permohonan dibuat berdasarkan peruntukan Seksyen 55A Akta Undang-undang Keluarga Islam (WIlayah-wilayah Persekutuan) 1984.

Perlu diberi perhatian bahawa lafaz talak di luar dan tanpa kebenaran Mahkamah ini merupakan satu kesalahan dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM1000.00 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya (denda dan penjara). Ini sebagaimana yang diperuntukan dalam Seksyen 124 Akta Undang-undang Keluarga Islam (WIlayah-wilayah Persekutuan) 1984.