Khamis, 24 November 2011

Perkahwinan bertentangan undang-undang perlu didaftarkan

Secara prinsipnya, suatu perkahwinan yang dilangsungkan bertentangan atau melanggar undang-undang tidak boleh didaftarkan. Walaubagaimanapun, jika dapat dibuktikan bahawa perkahwinan yang dilangsungkan tersebut adalah sah sebagaimana peruntukan Hukum Syarak, maka perkahwinan tersebut masih boleh didaftarkan dengan syarat Mahkamah Syariah telah mengeluarkan Perintah mengesahkan perkahwinan tersebut. Jadi, untuk menentukan samada perkahwinan yang dilangsungkan berlawanan dengan undang-undang sah atau sebaliknya, perkahwinan tersebut perlulah di rujuk di Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Setelah Mahkamah Syariah mengesahkan pernikahan tersebut melalui Perintah, maka Perintah tersebut perlulah dibawa ke Pejabat Agama berhampiran untuk urusan pendaftaran pernikahan.

Perlu diketahui bahawa apabila kes telah dirujuk ke Mahkamah, maka beban pembuktian bagi membuktikan pernikahan wujud adalah terletak kepada Pemohon bagi membuktikan bahawa pernikahan yang dilangsungkan tersebut adalah selaras dengan kehendak Hukum Syarak.

Dalam menentukan samada sesuatu pernikahan tersebut berdasarkan Hukum Syarak atau sebaliknya, syarat-syarat rukun-rukun nikah adalah sangat penting untuk dipenuhi tanpa gagal. Untuk syarat-syarat Rukun Nikah, Sila Rujuk http://peguamsyarie-farihah.blogspot.com/2011/03/tahukah-anda-rukun-rukun-nikah.html

Sekiranya perkahwinan dilangsungkan di Thailand, Sijil Nikah dan Surat Pengesahan Nikah yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Thailand bukanlah bukti yang kuat bagi menyokong permohonan pengesahan nikah di Mahkamah. Mahkamah masih memerlukan bukti-bukti lain bagi menyokong keterangan Pemohon.

Wali pernikahan, jurunikah dan saksi-saksi pernikahan adalah individu-individu yang sangat penting untuk tampil ke Mahkamah bagi memberikan keterangan bagi menyokong permohonan Pemohon (pasangan pengantin iaitu suami atau isteri) bagi membuktikan keesahan pernikahan yang dilakukan tersebut berdasarkan Hukum Syarak. Namun, malangnya kebanyakan saksi-saksi ini gagal dipanggil oleh Pemohon yang menyebabkan Pemohon gagal membuktikan pernikahan tersebut dilangsungkan berdasarkan Hukum Syarak yang menyebabkan Mahkamah menolak permohonan Pemohon untuk mengesahkan perkahwinan. Akibatnya, pernikahan tersebut terpaksa difaraqkan (dipisahkan) oleh Mahkamah dan Pemohon hendaklah melakukan akad nikah sekali lagi yang menepati undang-undang dan Hukum Syarak.

Jika sekiranya pasangan yang melakukan pernikahan bertentangan undang-undang mengabaikan urusan pendaftaran pernikahan ini, maka kesannya pasangan ini berkemungkinan akan menghadapi masalah di kemudian hari yang bukan sahaja berkaitan status perkahwinan, tetapi juga berkaitan nasab dan urusan pembahagian harta pusaka.


Rabu, 5 Oktober 2011

Kesan perkahwinan tanpa restu ibu bapa

Sebelum ini saya ada membincangkan berkaitan Perkahwinan tanpa Pengetahuan dan Restu Ibu bapa KLIK DISINI 

Kali ini saya suka untuk berkongsi pengalaman rentetan peristiwa kesan perkahwinan yang dilakukan tanpa pengetahuan dan restu ibu bapa.

Bukan niat saya untuk menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi apa yang saya kongsikan ini adalah dari pengalaman saya untuk pengajaran kita bersama.

Sepanjang saya mengendalikan kes berkaitan perkahwinan tanpa restu ibu bapa ini, ada dua (2) kes yang hampir sama keadaannya dimana kedua-dua pasangan suami isteri ini bernikah di luar negera tanpa pengetahuan ibu bapa mereka. Apabila ibu bapa mengetahui, ibu bapa pihak perempuan sangat-sangat membantah pernikahan mereka dan bapa sebagai wali memfailkan Permohonan Faraq Nikah di Mahkamah kerana haknya sebagai wali perkahwinan telah dinafikan.

Semasa kes masih lagi dalam prosiding Mahkamah, anak perempuan (isteri) telah mengalami keguguran. Pelbagai tohmanan dilemparkan kepada anak perempuan tersebut oleh keluarga pihak perempuan dengan mengatakan keguguran tersebut adalah disebabkan derhaka dan tidak mendapat restu ibu bapa.

Peristiwa yang sama juga berlaku untuk kes yang kedua yang mempunyai situasi yang sama dengan kes yang pertama. Walaubagaimanapun, ibu bapa perempuan yang membantah tersebut masih lagi belum mengetahui bahawa anak perempuannya keguguran.

Sejenak saya berfikir, adakah peristiwa yang berlaku ini adalah satu kebetulan atau satu hukuman akibat mengecewakan hati dan perasaan ibu bapa? Bagaimana kebahagiaan boleh dicapai jika ibu bapa tidak merestui perkahwinan dan mengeluarkan kata-kata (doa) yang tidak baik untuk anak-anak? Sama-samalah kita fikirkan...



Jumaat, 30 September 2011

Di Mahkamah Syariah manakah Pemohon/Plaintif perlu failkan tuntutan?

Sesuatu tuntutan atau permohonan hendaklah difailkan di Mahkamah Syariah di mana Pemohon/Plaintif tinggal atau bermastautin. Sekiranya alamat tempat tinggal atau mastautin berlainan dengan alamat yang tertera dalam kad pengenalan Pemohon/Plaintif, maka satu Surat Akuan Mastautin perlu diperolehi Pemohon/Plaintif di Masjid yang berdekatan tempat tinggal.

Alamat tempat kerja atau pejabat tidak boleh digunapakai sebagai alamat permohonan kecuali Pemohon/Plaintif tinggal di alamat tersebut.

Walaubagaimanapun, sesuatu tuntutan pasca penghakiman dimana sudah terdapat Perintah dikeluarkan oleh Mahkamah, Maka, sebarang tuntutan berkaitan perlaksaan atau mengubah Perintah tersebut hendaklah dilakukan di Mahkamah yang mengeluarkan Perintah tersebut.

Untuk kes harta sepencarian, tuntutan hendaklah difailkan di Mahkamah yang mensabitkan perceraian pihak-pihak. Contohnya, jika kes cerai disabitkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, maka tuntutan Harta Sepencarian hendaklah difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur walaupun Plaintif tinggal di Selangor.
 

AKTA-AKTA YANG BERKUATKUASA DI MAHKAMAH SYARIAH WILAYAH PERSEKUTUAN

1) Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993(Akta 505)
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen2011/Federal_Updated.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/938ea6c8aaeafd78482571fe0011dedd?OpenDocument

2)  Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303)
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen2011/Federal_Updated.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/633473c64eaa80a048256fd50001141a?OpenDocument

3) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 (Akta 585)
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen2011/Federal_Updated.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/fa067c5bcc0dbabe48256fd3000c868d?OpenDocument

4) Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 561)
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen2011/Federal_Updated.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/bb86c652310c6ff8482570820008148a?OpenDocument

5) Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560)
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen2011/Federal_Updated.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/fe7ccc4648611a53482570820008147e?OpenDocument

6) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559)
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen2011/Federal_Updated.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/d31866f9fa58ec974825708200081476?OpenDocument

7) Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355)
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen2011/Federal_Updated.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/30fc8a06c5f8b8d6482572dd0017edb6?OpenDocument

Gelaran pihak-pihak di Mahkamah Syariah

Di Mahkamah Syariah terdapat dua (2) jenis tindakan yang difailkan di Mahkamah iaitu Saman dan Permohonan.

Untuk kes yang tindakannya dimulai  dengan Saman, pihak yang menuntut dipanggil sebagai "Plaintif" manakala pihak yang dituntut atau kena tuntut dipanggil sebagai "Defendan".

Bagi kes yang dimulai dengan tindakan Permohonan, orang yang memohon dipanggil sebagai "Pemohon" manakala yang dituntut sebagai "Responden".

Dalam kes yang melibatkan rayuan, orang yang merayu dipanggil sebagai "Perayu" dan pihak satu lagi dipanggil sebagai "Responden".

Khamis, 14 Julai 2011

Perkahwinan tanpa pengetahuan dan restu ibubapa

Sepanjang saya mengendalikan kes-kes kekeluarga Islam di Mahkamah Syariah, saya telah menemui beberapa kes yang agak menarik perhatian saya berkaitan perkahwinan yang dilakukan tanpa pengetahuan dan restu ibubapa yang boleh saya kongsi bersama-sama untuk kita mengambil pengajaran disebalik setiap peristiwa.

Kes pertama yang saya temui ialah dimana perkahwinan dilangsungkan diantara seorang perempuan warganegara Malaysia dengan lelaki warga asing. Perkahwinan ini dilakukan di negara pasangan lelaki. Semasa berkahwin status perempuan adalah anak dara, masih lagi menuntut di Universiti luar negara manakala  status pasangan lelaki ialah telah berkahwin. Ini ialah pernikahan poligami. Perkahwinan dilangsungkan tanpa pengetahuan apatahlagi restu dari ibubapa gadis. Apabila pulang sahaja ke Malaysia,  ibubapa gadis ini mendapat tahu dari lelaki tersebut bahawa dia telah berkahwin dengan anak perempuan mereka di negara lelaki tersebut. Berita ini amat memeranjatkan ibubapa perempuan tersebut  dan ibubapa tersebut telah menghalang lelaki ini untuk terus berjumpa dengan anak perempuan mereka. Rentetan itu, lelaki ini telah membuat permohonan pengesahan pernikahan di Mahkamah Syariah. Dalam permohonan pengesahan nikah ini, perempuan tersebut tidak bersetuju pernikahan yang dilangsungkan tersebut disahkan oleh Mahkamah dengan alasan semasa pernikahan, beliau diberi pengaruh yang tidak wajar oleh lelaki tersebut.

Kes yang kedua ialah dimana pasangan ini melangsungkan perkahwinan di negara jiran tanpa mengikut prosedur undang-undang negara jiran tersebut. Perkahwinan hanya dilakukan disebuah hotel. Perkahwinan juga dilakukan tanpa pengatahuan dan restu ibubapa. Status perempuan adalah anak dara dan merupakan seorang yang berpendidikan tinggi dan bekerja sebagai pensyarah. Perempuan adalah warganegara Malaysia manakala lelaki bukan warganegara. Perkahwinan ini juga adalah perkahwinan poligami. Apabila ibubapa perempuan ini mendapat tahu anak mereka telah bernikah dengan lelaki tersebut, ibubapa perempuan ini juga marah. Lelaki tersebut telah memfailkan permohonan pengesahan pernikahan di Mahkamah Syariah untuk mendapatkan haknya. Permohonan telah dibantah oleh perempuan tersebut.

Kes yang ketiga ialah perkahwinan diantara wanita warganegara Malaysia dengan lelaki bukan warganegara. Perkahwinan ini dilakukan di negara lelaki tersebut. status perempuan ialah anak dara manakala lelaki adalah bujang. Pernikahan ini dilakukan di negara lelaki tersebut tanpa pengatahun dan izin bapa perempuan kerana perhubungan mereka telah dibantah keras oleh ayah perempuan tersebut dengan alasan lelaki tersebut tidak sekufu dengan anak perempuannya. Perempuan ini bekerja sebagai pensyarah tahap pendidikan ialah PhD.Lelaki bekerja sebagai guru. Pasangan memohon Mahkamah mengesahkan pernikahan mereka tetapi ayahnya membantah dan memohon supaya pernikahan mereka difaraqkan.

Kes yang keempat pula ialah perkahwinan diantara pasangan warganegara malaysia yang dilangsungkan di negara jiran kerana perhubungan mereka mendapat tentangan yang hebat dari ibubapa gadis. Perempuan  masih lagi menuntut di Universiti tempatan. Pasangan ini juga memfailkan permohonan pengesahan pernikahan tetapi dibantah oleh ayahnya.

Daripada keempat-empat kes yang saya kongsikan ini, apakah yang dapat anda semua lihat dan simpulkan? Mengapa perkahwinan di luar pengetahuan ibubapa berlaku? Ingin saya menarik perhatian anda semua bahawa perkahwinan yang saya kongsikan ini adalah berlaku dikalangan wanita-wanita yang berpendidikan tinggi. Apakah wanita-wanita ini yang salah kerana berkahwin tanpa pengetahuan ibubapa atau lelaki-lelaki yang memujuk mereka berkahwin atau ibubapa gadis yang bersalah kerana tidak merestui perhubungan anak meraka? Siapakah yang bersalah? Adakah ini yang dinamakan kuasa cinta?Apakah cinta itu begitu sangat mempengaruhi sehingga orang yang berpendidikan melupakan ibubapa untuk berkahwin dengan lelaki pilihan mereka? Apabila sangat mencintai, ibubapa tidak merestui, maka perkahwinan dilakukan tanpa pengetahuan ibubapa? Apakah anak gadis ini berdosa kerana berkahwin tanpa restu keluarga? Adakah Islam menggalakkan berkahwin tanpa restu keluarga? Apakah jalan yang terbaik apabila ibubapa tidak merestui perkahwinan? Apakah Islam membenarkan bercinta sebelum berkahwin? Adakah ini salah satu kesan mengapa Islam tidak membenarkan cinta sebelum berkahwin? Anda pasti ada jawapannya...












Selasa, 5 Julai 2011

Pengalaman 01.07.2011

01hb Julai 2011 merupakan satu tarikh yang amat bermakna untuk saya dan rakan-rakan seperjuangan saya yang lain. Pada tarikh tersebut, satu Konvensyen Peguam Syarie Seluruh Malaysia Kali Ke-2 telah diadakan di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur dimana konvensyen tersebut telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia iaitu YAB Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak. Inilah kali pertama saya dapat bersua muka bukan sahaja dengan Perdana Menteri tetapi juga dengan YAB Senator Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil bin Hj. Baharom (B) dan Datuk Dr. Mashitah Ibrahim. Inilah juga kali pertama saya menyanyikan lagu 1Malaysia dengan penuh penghayatan.

Alhamdulillah, dengan adanya Konvensyen ini telah memberikan saya peluang untuk berjumpa kenalan-kenalan lama saya untuk sama-sama berkongsi pengalaman dan idea sepanjang menceburi bidang kepeguaman syarie ini.
Terdapat tiga (3) kertas kerja yang dibentangkan dalam konvensyen kali ini iaitu:-

i) Kepeguaman Syarie di Malaysia yang dibentangkan oleh Y.Bhg Tuan Mohamad Isa bin Abd Ralip, Presiden, Persatuan  Peguam Syarie Malaysia;

ii) Kepeguaman Syarie di Negara Brunei Darussalam yang dibentangkan oleh Y.Bhg Tuan Mohd Yusof bin Halim, Peguam Kanan Tetuan Sankaran Halim; dan

iii) Kepeguaman Syarie di Republik Singapura yang dibentangkan oleh YA Puan Faridah Eryani binti Pairin, Ahli Lembaga Rayuan, Mahkamah Rayuan Syariah Republik Singapura.

Walaupun Y. Bhg Tuan Mohamad Isa banyak membincangkan kelemahan dan kekurangan kepeguaman syarie di Malaysia, tetapi menurut pandangan peribadi saya hasil daripada pembentangan ketiga-tiga kertas kerja tersebut, saya percaya bahawa kepeguaman syarie di Malaysia adalah lebih bagus dan semakin berkembang dengan jayanya. Kewujudan Konvensyen ini juga sudah menunjukkan adanya perkembangan kepeguaman syarie yang baik di Malaysia.

Di akhir konvensyen ini, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia telah membentangkan Resolusi Konvensyen untuk dipertimbangkan oleh Perdana Menteri iaitu:-
i) Menggesa Jabatan Peguam Negara untuk menyegerakan kewujudan Akta Guaman Syarie;
ii) Menubuhkan Majlis Peguam Syarie selaras dengan penubuhan Akta Guaman Syarie;
iii) Menyeragamkan Sijil Pentauliahan Peguam Syarie dan mewujudkan hanya satu Sijil Amalan Peguam Syarie sahaja yang boleh digunakan untuk semua Mahkamah Syariah seluruh Malaysia;
iv) Memperkasakan dan mengukuhkan Mahkamah Syariah serta Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dengan menaiktaraf pejawatan skim pegawai syariah ke satu skim yang berbeza dengan skim perkhidmatan yang lain; dan
v) Memperluaskan bidangkuasa Mahkamah Syariah khususnya dalam bidang jenayah dan muamalat.

Walaupun pengendalian majlis ini oleh pihak penganjur terutamanya dari segi masa  agak kurang memuaskan, namun kewujudan konvensyen ini adalah satu usaha yang murni yang dilakukan oleh pihak penganjur dalam memastikan kehakiman syariah di negara ini berada ditahap yang memuaskan.