Isnin, 7 September 2020

WANITA... ISTERI... PEREMPUAN.. DAFTARLAH NIKAH ATAU ANDA SEBENARNYA SEDANG DIANIAYA

Saya nak tanya, ada tak di sini yang kenal sesiapa atau kawan-kawan yang pernah bernikah di luar negara atau nikah di sempadan Thailand atau nikah tidak mengikut undang-undang dan sehingga kini masih lagi belum mendaftarkan pernikahan?

Jika anda mengenali insan-insan ini, tolong sampaikan pesanan saya kepada mereka khususnya para wanita, tolonglah daftar nikah tu... Kerana apa? Kerana jika bukan anda yang mempertahankan hak anda, siapa lagi yang akan pertahankan hak anda?

Saya sudah berpengalaman berjumpa beberapa kes yang melibatkan pernikahan yang tidak didaftarkan yang menghadapi masalah dari banyak sudut. Khususnya kepada wanita, penganiayaan berlaku kepada wanita.

Isu tidak mendapat kerjasama dari suami untuk mendaftarkan pernikahan, bukan alasan yang wajar diberikan. Anda sendiri berhak memfailkan permohonan untuk pengesahan pernikahan jika suami tidak mengambil berat berkaitan hal ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan, Lelaki boleh kawin sehingga 4 orang wanita. Tetapi wanita hanya dibenarkan berkahwin dengan seorang lelaki dalam 1 masa. Jika seorang wanita yang telah berkahwin hendak berkahwin dengan lelaki lain perlu bercerai dahulu, habis iddah, barulah boleh berkahwin dengan lelaki lain. Jika pernikahan tidak didaftarkan, berlaku pula perceraian, bekas suami pula tidak mahu memberi kerjasama, amatlah sulit untuk anda mempertahankan dan menuntut hak anda.

Negara kita mempunyai undang-undang. Hanya Sijil Nikah yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri sahaja yang diterima pakai. Jika selainnya, maka ia akan ditolak kecuali dapat dibuktikan bahawa pernikahan tersebut adalah sah di Mahkamah Syariah.

Bagi isteri yang diceraikan dalam keadaan pernikahan yang tidak didaftarkan, tiada apa hak yang boleh dituntut dari bekas suami kerana pernikahan tidak didaftarkan. 

Lelaki yang bertanggungjawab ialah lelaki yang akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan hak wanita dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Tetapi jika sebaliknya, lelaki jenis ini ialah lelaki yang hanya mementingkan diri sendiri sahaja.

Wahai wanita, daftarlah pernikahan mengikut undang-undang atau anda sedang biarkan diri anda dianiaya oleh lelaki yang dianggap sebagai suami.

Selasa, 12 Mei 2020

JATUH TALAK KE TAK?

Saya selalu dapat soalan yang meminta pandangan saya tentang hukum jatuh atau tidak lafaz talak yang di lafazkan oleh suami.

"Saya nak tahu, dah jatuh talak ke belum?"

"Apa status saya sekarang?"

"Sebenarnya kami pernah bercerai sebelum ni, tapi suami dah rujuk. Dah 2x, ini kali ke 3 suami lafaz. Macamana ye?"

Terus terang saya katakan bahawa saya sangat berhati-hati dalam menjawab persoalan hukum terutamanya berkaitan dengan Hukum Syarak lebih-lebih lagi berkaitan dengan hukum jatuh talak.

Tuan-tuan dan puan-puan, selalu saya katakan hanya HAKIM yang berbidangkuasa sahaja yang boleh atau layak menentukan status pernikahan/perceraian seseorang. Bukan saya. Bukan ustaz, bukan ustazah dan bukan juga Imam. Walaupun golongan-golongan ini tahu hukum berkaitan, tetapi yang berkuasa menentukan jatuh atau tidak adalah HAKIM yang berbidangkuasa.

Saya sangat berhati-hati dengan jawapan kerana saya tidak mahu ada yang berpegang dengan pandangan saya semata-mata jika saya mengatakan talak tidak jatuh dan mengambil keputusan untuk tidak merujuk ke Mahkamah untuk disiasat oleh hakim sedangkan saya hanya mendengar aduan dari sebelah pihak sahaja. Jika saya katakan talak tidak jatuh, tetapi hakikat sebenarnya talak itu sabit dan jatuh, siapakah yang akan dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan?

Perkara yang melibatkan pernikahan dan perceraian bukanlah perkara yang boleh dibuat main-main atau diambil mudah kerana selain melibatkan dosa dan pahala, ia juga melibatkan nasab/keturunan.

Kebanyakan yang mengadu adalah wanita (isteri) sedangkan lafaz itu datangnya dari suami. Jadi, kata-kata suami atau keterangan suami perlu diambil untuk mengetahui keadaan sebenar semasa lafaz cerai dilafazkan.

Hanya HAKIM yang layak memutuskan status pernikahan/perceraian setelah membuat siasatan dengan mendengar keterangan dari kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri.

Berkaitan dengan jenis lafaz cerai, saya telah share video berkaitan untuk pengetahuan umum. Boleh tonton di sini https://www.facebook.com/peguamsyarie.farihah/videos/821006491657281/

Bagi mereka yang telah melafazkan cerai kepada isteri di luar Mahkamah, saya nasihatkan untuk terus memfailkan kes pengesahan cerai di Mahkamah Syariah.

Lafaz telah wujud, samada jatuh talak atau tidak, Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk menentukan perkara tersebut.

Isnin, 13 April 2020

TIME PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) SUAMI ISTERI BERGADUH

Ada ke di kalangan anda yang begini atau ada ahli keluarga atau rakan-rakan anda yang anda tahu melalui keadaan ini?
.
.
Saya dapat banyak aduan dari isteri dan tak ketinggalan juga suami yang mengadu tentang masalah rumahtangga. Tapi kebanyakannya adalah dari isteri.
.
.
Dalam keadaan PKP ni, pergerakan kita semua terbatas. Jika minta bantuan dari saya, tidak ada apa yang boleh saya bantu kecuali memberi nasihat dan menyediakan dokumen sebagai persediaan pemfailan kes di Mahkamah.
.
.
Dalam keadaan kita happy dengan keluarga, boleh masak-masak makanan untuk ahli keluarga, ada juga mereka di luar sana yang sedang berada dalam keadaan tertekan.
.
.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, perasaan tertekan lahir dari pilihan kita. Diri kita yang membenarkan perasaan itu lahir dan menguasai diri kita. Kita boleh pilih untuk berasa tenang dan bahagia walaupun dihimpit derita. Semua itu adalah pilihan kita.
.
.
Suami curang, suami pemalas, suami tidak ada tanggungjawab, suami tak beri nafkah, dll.... Kita sebagai isteri ada pilihan apa reaksi terhadap keadaan atau situasi ini. Samada nak melayan perasaan, marah-marah, bergaduh atau cuba untuk tenangkan diri.
.
.
Sesungguhnya kita sebagai manusia biasa tidak ada kuasa untuk mengubah sikap manusia yang lain. Allah juga tidak akan ubah nasib diri kita kecuali kita sendiri yang nak ubah dan ubah diri sendiri.
.
.
Dalam menghadapi kemelut rumahtangga, apa yang perlu dilakukan?.
.
.
1) Dekatkan diri dengan Allah. Solat 5 waktu jangan tinggal. Kalau solat 5 waktu kita tak jaga, memang hidup kita tidak akan aman. Allah suruh kita minta pertolongan kepadanya dengan SABAR DAN SOLAT. Menghadapi sikap manusia yang tidak kita sukai memang menyakitkan. Tapi apa yang Allah pesan ialah SABAR DAN SOLAT. Buat saja apa yang Allah perintahkan ini. InsyaAllah, anda akan berasa tenang.
.
.
2) Jika berlaku penganiayaan dan kekasaran, teruslah hubungi pihak Polis untuk bantuan.
.
.
3) Jika rasa tidak boleh lagi nak teruskan perkahwinan, kena bersabar dahulu sehinggalah tempoh PKP tamat. Apa yang anda boleh lakukan ialah persediaan dari segi dokumen untuk pemfailan kes di Mahkamah.
.
.
PKP adalah masa untuk kita belajar bersabar. Bersabar dan terus bersabar. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.
.
.
Sabar dulu ye...