Isnin, 7 September 2020

WANITA... ISTERI... PEREMPUAN.. DAFTARLAH NIKAH ATAU ANDA SEBENARNYA SEDANG DIANIAYA

Saya nak tanya, ada tak di sini yang kenal sesiapa atau kawan-kawan yang pernah bernikah di luar negara atau nikah di sempadan Thailand atau nikah tidak mengikut undang-undang dan sehingga kini masih lagi belum mendaftarkan pernikahan?

Jika anda mengenali insan-insan ini, tolong sampaikan pesanan saya kepada mereka khususnya para wanita, tolonglah daftar nikah tu... Kerana apa? Kerana jika bukan anda yang mempertahankan hak anda, siapa lagi yang akan pertahankan hak anda?

Saya sudah berpengalaman berjumpa beberapa kes yang melibatkan pernikahan yang tidak didaftarkan yang menghadapi masalah dari banyak sudut. Khususnya kepada wanita, penganiayaan berlaku kepada wanita.

Isu tidak mendapat kerjasama dari suami untuk mendaftarkan pernikahan, bukan alasan yang wajar diberikan. Anda sendiri berhak memfailkan permohonan untuk pengesahan pernikahan jika suami tidak mengambil berat berkaitan hal ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan, Lelaki boleh kawin sehingga 4 orang wanita. Tetapi wanita hanya dibenarkan berkahwin dengan seorang lelaki dalam 1 masa. Jika seorang wanita yang telah berkahwin hendak berkahwin dengan lelaki lain perlu bercerai dahulu, habis iddah, barulah boleh berkahwin dengan lelaki lain. Jika pernikahan tidak didaftarkan, berlaku pula perceraian, bekas suami pula tidak mahu memberi kerjasama, amatlah sulit untuk anda mempertahankan dan menuntut hak anda.

Negara kita mempunyai undang-undang. Hanya Sijil Nikah yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri sahaja yang diterima pakai. Jika selainnya, maka ia akan ditolak kecuali dapat dibuktikan bahawa pernikahan tersebut adalah sah di Mahkamah Syariah.

Bagi isteri yang diceraikan dalam keadaan pernikahan yang tidak didaftarkan, tiada apa hak yang boleh dituntut dari bekas suami kerana pernikahan tidak didaftarkan. 

Lelaki yang bertanggungjawab ialah lelaki yang akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan hak wanita dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Tetapi jika sebaliknya, lelaki jenis ini ialah lelaki yang hanya mementingkan diri sendiri sahaja.

Wahai wanita, daftarlah pernikahan mengikut undang-undang atau anda sedang biarkan diri anda dianiaya oleh lelaki yang dianggap sebagai suami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan