Selasa, 29 Mac 2011

RUKUN-RUKUN NIKAH

Nikah mempunyai lima (5) rukun iaitu:-
  1. Suami;
  2. Isteri
  3. Dua (2) orang saksi
  4. Wali
  5. Akad nikah
Setiap rukun pernikahan tersebut di atas mempunyai syarat-syarat tertentu sebagaimana berikut:-

(1) Suami
  • Suami tidak mempunyai hubungan mahram dengan perempuan yang dikahwini
  • Suami adalah lelaki yang tertentu
  • Tidak berada dalam ihram haji atau umrah
(2) Isteri
  • Tidak mempunyai halangan-halangan untuk berkahwin
  • Isteri adalah perempuan yang ditentukan
  • Tidak berada dalam ihram haji atau umrah
(3) Dua orang saksi
  • Saksi mestilah beragama Islam
  • Saksi mestilah lelaki
  • Berakal dan baliqh
  • Adil walaupun zahirnya sahaja
  • Mendengar
  • Melihat
(4) Wali
  • Wali mestilah beragama Islam,
  • Adil
  • Baligh
  • Berakal
  • Tidak mempunyai kecacatan yang boleh menjejaskan pandangan
  • Wali bukan orang yang dilarang oleh syarak membelanjakan hartanya disebabkan safih (bodoh)
  • Bukan orang yang berihram
(5) Akad Nikah
  • Akad nikah hendaklah menggunakan lafaz nikah atau kahwin
  • Lafaz sighah (ijab dan qabul) hendaklah disebut secara jelas dan terang
  • Ijab dan qabul bersambung
  • Wali dan pengantin lelaki waras sehingga selesai akad
  • Sighah menunjukkan akad berlaku ketika itu juga
  • Sighah mestilah mutlak 
Sekiranya pernikahan diadakan tidak menepati syarat-syarat rukun nikah di atas, maka pernikahan tersebut adalah fasid dimana pasangan tersebut mestilah difaraqkan (dipisahkan).

Pengalaman saya: 29.03.2011 (Selasa)

Semasa di dalam dewan Mahkamah, dia tidak faham alasan penghakiman yang hakim bacakan. Dia tidak faham keputusan yang hakim berikan. Dia kelihatan terpinga-pinga dengan keputusan hakim kerana dia tidak faham status permohonannya.

Di luar dewan mahkamah, saya menerangkan kepada dia, permohonannya diluluskan Mahkamah. Dia bebas dari Islam. Dia sudah tidak ada kaitan dengan Islam. Mahkamah sudah isytihar dia bukan beragama Islam. Mendengar kata-kata saya, dia terus sujud menyembah dan menyentuh kaki kanan saya. Saya terkejut dengan perbuatannya. Jantung saya berdebar-debar. Saya lantas menarik kaki kanan saya sambil memerhatikan orang-orang disekeliling yang melihat perbuatan tersebut. Sambil menangis dia mengucapkan terima kasih berkali-kali kepada saya.

Apa kaitannya saya? Saya bukan Peguam Syarie dia... Malah, saya tidak pernah menyokong permohonannya.

Saya melihat dia begitu seronok dengan keputusan Mahkamah kerana dia sudah boleh dan bebas mengamalkan ajaran agama asalnya dan tidak risau lagi dimana jasadnya akan dikebumikan...

Ya Allah, hanya engkau yang layak disembah.

Sabtu, 29 Januari 2011

MAKSUD "SEKUFU"

Sekufu ialah persamaan (setaraf) diantara calon suami dan calon isteri. Persamaan ini boleh dilihat dari beberapa sudut iaitu:-
  1. Beragama dan baik. Maksudnya lelaki yang fasik tidak sekufu dengan perempuan yang solehah.
  2. Pekerjaan. Contohnya lelaki yang bekerja sebagai tukang sapu tidak setaraf dengan anak perempuan tokoh korporat.
  3. Tidak mempunyai kecacatan yang boleh menyebabkan berlakunya fasakh dalam perkahwinan.
Sekufu adalah hak calon isteri dan walinya. Walaupun sekufu bukan syarat sah perkahwinan, ia adalah perlu kerana persamaan ini tidak memerlukan pasangan suami isteri mengubah kebiasaan hidup mereka memandangkan kebiasaan hidup mereka adalah hampir sama. Selain itu, ia dapat mengelak calon isteri dan wali menjadi malu.

Namun calon isteri dan walinya boleh meninggalkan syarat ini. Tidak ada siapa yang boleh menghalang mereka jika kedua-duanya redha atau setuju meninggalkan syarat ini.

Tetapi jika hanya seorang sahaja (calon isteri atau wali) yang setuju, pihak yang tidak setuju (calon isteri atau wali) boleh mempertikaikannya di Mahkamah dan memohon untuk memfasakhkan pernikahan.

Khamis, 27 Januari 2011

WANITA YANG HARAM DINIKAHI

1. Haram selama-lamanya disebabkan:-

Hubungan keturunan (nasab):
  • Ibu, nenek sebelah ibu, nenek sebelah bapa;
  • Anak perempuan, cucu perempuan dari anak lelaki, cucu perempuan dari anak perempuan. 
  • Adik beradik perempuan seibu sebapa atau sebapa atau seibu.
  • Anak perempuan kepada adik beradik lelaki yang seibu sebapa atau sebapa atau seibu (Anak saudara).
  • Anak perempuan kepada adik beradik perempuan yang seibu sebapa atau sebapa atau seibu (Anak saudara).
  • Adik beradik perempuan bapa ( Ibu saudara sebelah ayah).
  • Adik beradik perempuan ibu (Ibu saudara sebelah ibu).
Hubungan perkahwinan:
  • Isteri bapa (ibu tiri) Isteri datuk  sebelah bapa atau ibu (nenek tiri).
  • Isteri anak (menantu), isteri cucu lelaki sebelah anak lelaki atau anak perempuan.
  • Ibu mertua.
  • Anak perempuan isteri (anak tiri) (selepas bapa tiri bersetubuh dengan ibunya).
Haram kerana susuan:
  • Ibu susuan.
  • Adik beradik perempuan susuan.
  • Anak perempuan kepada adik beradik lelaki atau perempuan susuan.
  • Ibu saudara susuan (adik beradik susuan dengan bapa).
  • Anak perempuan susuan (perempuan yang menyusu dengan isteri).
2. Haram untuk sementara waktu
  • Berkahwin atau memadukan (poligami) dengan dua beradik perempuan sekaligus.
  • Memadukan (Poligami) seorang perempuan dengan ibu saudara sebelah ibunya atau bapanya; Memadukan (Poligami) seorang perempuan dengan anak perempuan kepada adik beradik perempuannya atau lelakinya; Memadukan (Poligami) seorang perempuan dengan anak perempuan kepada anak lelakinya atau anak perempuannya.
  • Berkahwin lebih dari empat (4) orang perempuan.
  • Perempuan kafir yang menyembah berhala.
  • Perempuan yang sudah berkahwin (mempunyai suami).
  • Perempuan yang masih dalam iddah.
  • Perempuan yang diceraikan dengan talak tiga (3).

HUKUM BERKAHWIN

  1. SUNAT - Jika seseorang itu ingin berkahwin, memiliki kemampuan dari segi nafkah, mas kahwin serta nafkah kehidupannya dan kehidupan isterinya dan dia merasakan dia tidak akan terjerumus ke dalam perkara maksiat (zina) jika dia tidak berkahwin.
  2. SUNAT MENINGGALKANNYA -Jika seseorang itu ingin berkahwin tetapi tidak mempunyai kemampuan dan nafkah. 
  3. MAKRUH - Jika seseorang itu tidak ingin berkahwin sama ada disebabkan oleh faktor semulajadi, sakit atau sebab-sebab lain.
  4. AFDHAL TIDAK BERKAHWIN - Jika seseorang itu mempunyai kemampuan tetapi dia tidak ingin berkahwin kerana sibuk beribadat dan menuntut ilmu..
  5. AFDHAL BERKAHWIN - Jika seseorang itu tidak sibuk beribadat dan tidak sibuk menuntut ilmu dan dia mempunyai kemampuan untuk berkahwin tetapi tidak ada keperluan untuk berkahwin.